Iklan

Menolak serangan pemikiran Islam.

RAMAI yang menyangka tradisi Asha’irah-Maturidiyyah sudah lapuk sebagai tradisi akidah dan pemikiran Islam yang berupaya menjawab kekeliruan dan kecelaruan akidah dan pemikiran umat pada hari ini.

Tetapi sekonyong-konyong ada orang menyebut kewujudan ‘tempat yang tidak bertempat’ (al-makan al-‘adami) bagi menggambarkan sifat kewujudan Allah SWT, maka kecenderungan menjisimkan Allah dengan sesuatu akan mengembalikan kita kepada kepentingan peranan Asha’irah-Maturidiyyah dalam membendung kesesatan.

Ramai juga yang menganggap tradisi Asha’irah-Maturidiyyah sudah usang sebagai satu pendekatan akidah dan pemikiran bagi menghadapi cabaran liberalisme, pluralisme, anarkisme dan pasca-modenisme yang mula merebak sebagai pemikiran muktazilah bentuk baharu dalam kalangan masyarakat Islam.

Ahli kalam Asha’irah-Maturidiyyah pernah membangkitkan sekali gus membanteras golongan ilhadi (atheisme), dahri (materialisme), la adri (skeptisme/agnostisme), indi (nihilism/relativisme) dan sufastai (sophisme), maka tentu sekali penjelmaan semula pelbagai akidah dan pemikiran keliru lagi celaru ini boleh ditangani berpandukan pendekatan tradisi Asha’irah-Maturidiyyah.

Deja vu kepada tradisi Asha’irah-Maturidiyyah akibat kemunculan semula akidah dan pemikiran neo-mujassimah dan neo-muktazilah ketika ini menjadi lebih jelas berdepan dengan kebangkitan neo-khawarij ala Daesh dan kelompok syiah yang juga agresif dalam mempe­ngaruhi umat Islam. Dalam tradisi keilmuan Islam, para ahli kalam atau Mutakallimun yang telah membina disip­lin ilmu kalam terbukti berjaya mengangkat akidah dan pemikiran Islam secara rasional dan sistematik dalam membanteras pemikiran keliru dan celaru golongan Mujassimah, Muktazilah, Khawarij dan syiah.

Kemunculan neo-Mujassimah, neo-Muktazilah dan neo-Khawarij kini jelas membuktikan bahawa tradisi Asha’irah-Maturidiyyah masih belum mati malah sangat diperlukan bagi mematahkan hujah-hujah songsang kelompok-kelompok akidah dan pemikiran bidaah ini yang semakin menular dalam masyarakat Islam.

Berdasarkan track record, Asha’irah-Maturidiyyah bukan sahaja terbukti mampu menghadapi cabaran mujassimah, muktazilah dan khawarij malah ideologi dan “isme” lain seperti ilhadiyyah, dahriyyah, la adriyyah, indiyyah dan sufastaiyyah.

Ideologi dan “isme” ini dalam konteks semasa menjelma menjadi atheisme, materialisme, skeptisme, nihilisme dan seumpama­nya. Persoalan kepelbagaian ideologi dan “isme” yang boleh merosakkan akidah dan pemikiran umat sama ada yang datang dari dalam umat sendiri seperti neo-mujassimah, neo-muktazilah dan neo-khawarij juga syiah atau yang datang dari luar umat seperti liberalisme, pluralisme, anarkisme dan pascamodenisme memerlukan pendekatan keilmuan yang komprehensif dan holistik untuk menghadapinya.

Kekuatan tradisi Asha’irah-Maturidiyyah terbina dari kesinambungan kesarjanaan tokoh-tokoh seperti Imam-Imam Asha’ari, Baghdadi, Baqillani, Juwayni, Ghazali, Razi, Nasafi, Shahrastani, Taftazani, Iji, Jurjani, Sanusi dan ramai lagi yang tidak putus selama hampir 1,000 tahun. Untuk tempoh 1,000 tahun itu, tradisi Asha’irah-Maturidiyyah telah menampilkan penjelasan yang rasional dan sistematik mengenai akidah dan pemikiran Islam sehingga diterima oleh hampir 90 peratus umat Islam di seluruh dunia.

Cuma pada abad ke-20, tradisi Asha’irah-Maturidiy­yah ini mula disaingi oleh aliran akidah dan pemikiran baharu sama ada dari kelompok modenis-reformis atau pun salafiyyah-wahhabiyyah yang menganggap tradisi Asha’irah-Maturidiyyah ini sebagai bidaah lagi menyesatkan kerana kononnya menggunakan akal, logik dan falsafah Yunani dalam penghuraiannya.

Kedangkalan modenis-reformis dan salafiyyah-wahhabiyyah dalam menanggapi keperluan mengungkapkan akidah dan pemikiran Islam secara rasional, analitikal dan sistematik dalam menyahut cabaran kepelbagaian kekeliruan dan kecelaruan akidah dan pemikiran akhir­nya menjadikan umat Islam menjauhi peranan akal, logik dan kaedah analisis untuk memahami agama Islam.

Akibatnya, umat Islam mudah terjebak kepada pendekatan emosi, retorik dan populis berbanding dengan pendekatan rasional, logik dan sistematik dalam peng­hujahan beragama mereka. Hilangnya daya rasionali­sasi, analisis dan sistemisasi akhirnya menyebabkan umat menjadi simplistik dan mudah mencari jalan-jalan potong atau jalan pintas dalam kehidupan beragama mereka. Sudah tiba masanya umat Islam merujuk kembali kepada pendekatan tradisi akidah dan pemikiran Asha’irah-Maturidiyyah dengan segala pembaharuan dan penambahbaikannya bagi menghadapi cabaran dan ancaman akidah dan pemikiran yang sedang mereka hadapi ketika ini.

Memandangkan cabaran dan ancaman akidah dan pemikiran ini terbit dalam bentuk yang hampir sama jika tidak sama sepenuhnya, maka sarjana akidah dan pemikiran Islam hanya akan membuang masa sekiranya mereka ingin re-invent the wheel atau mencari pendekatan lain bagi memecahkan kekeliruan dan kecelaruan akidah dan pemikiran Islam semasa.

Malah, agak sukar untuk dibayangkan sebuah disiplin ilmu baharu berkaitan akidah dan pemikiran Islam yang boleh menandingi kedalaman, keluasan serta kepelbagaian hujah yang telah diberikan oleh para sarjana ilmu kalam dalam membetulkan kekeliruan dan kecelaruan akidah dan pemikiran umat sejak 1,000 tahun lalu.

Justeru bila kita mendapati abad ke-20 adalah abad yang mana serangan terhadap akidah dan pemikiran Islam adalah paling dahsyat, ini juga seiring dengan pe­minggiran dan penolakan terhadap tradisi Asha’irah-Maturidiyyah disebabkan kepentingan-kepentingan tertentu.

Kembali kepada kefahaman dan penghayatan akidah dan pemikiran tradisi Asha’irah-Maturidiyyah dengan segala pembaharuan dan penambahbaikan, boleh menjadi langkah paling munasabah dan bijaksana bagi pe­ngukuhan akidah dan pemikiran umat Islam dalam abad ke-21. Ini sebagai naratif dan alternatif baharu menggantikan akidah dan pemikiran modenis-reformis dan salafiyyah-wahhabiyyah yang menemui kegagalan di abad ke-20 yang baru berlalu.

DR. AMRAN MUHAMMAD ialah Ketua Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Islam (ISSI).

- See more...

Post a Comment

0 Comments