Iklan

Penalti penuh elak bayar cukai. #MOFComms

Lembaga Hasil Dalam Ne­geri (LHDN) dijangka meningkatkan kadar penalti kepada 100 peratus terhadap kesalahan mengelak dan melapor­kan jumlah cukai yang tidak tepat dalam kalangan pembayar cukai bermula Januari tahun depan.


Pengumuman Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sabin Samitah itu dibuat dipercayai ekoran timbulnya kes-kes ketirisan pembayaran cukai yang berlaku negara ini, khususnya melibatkan syarikat yang menjana keuntungan ratusan juta ke berbilion ringgit.

Sabin memberitahu, sudah tiba masanya LHDN menyediakan rangka kerja penalti baharu yang memasukkan kadar penalti maksimum berbanding hanya 45 peratus sahaja sebelum ini.

Katanya, rangka kerja penalti baharu itu tidak melibatkan pindaan terhadap akta percukaian sedia ada kerana klausa penalti maksimum sudah termaktub di bawah seksyen terlibat.

“Sebagai contoh, sekiranya jumlah cukai tertunggak ialah RM1 juta, maka penalti yang dikenakan juga RM1 juta. Bermakna pihak terbabit perlu membayar RM2 juta.

“Kami telah memberi peluang kepada pembayar cukai dua tahun berturut-turut iaitu tahun lalu dan tahun sebelumnya untuk datang secara sukarela ke LHDN buat laporan yang betul.

“Pada tahun ini masih guna rangka kerja penalti sama. Tahun depan kita ada rangka kerja pe­nalti yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Operasi Gegar Bersepadu (G127B) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Perisikan dan Profiling, Hajam Lajah Alam dan Pengarah LHDN Kuala Lumpur, Rozina Shaik Osman Merican.

Mengulas lanjut, Sabin menjelaskan, bermula Mei ini LHDN akan menubuhkan Cawangan Guaman Sivil yang berfungsi mengambil tindakan undang-undang kepada pembayar cukai yang tidak patuh.

Katanya, 200 pegawai undang-undang LHDN seluruh negara akan ditempatkan di bawah cawangan baharu itu yang berpusat di ibu negara.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/penalti-penuh-elak-bayar-cukai-1.468906#ixzz4e5aphgRL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Post a Comment

0 Comments