Iklan

“ ~Nostalgia Dongeng~, ~Harapan Palsu~,Transformasi Sebenar ✔”

Intipati Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO Malaysia, YB Khairy Jamaluddin sempena Perhimpunan Agung Tahunan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, 6 Disember 2017...


1. *Penyambung Warisan Perjuangan* Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dapat kita sekali lagi berkumpul di perhimpunan tahunan terbesar parti keramat orang Melayu. Dalam kita berhimpun di dewan serba indah ini, jangan dilupa  mereka yang diuji dengan musibah banjir.

2.  Kita merupakan penyambung kepada sebuah perjuangan murni - sebuah perjuangan yang dibina atas harapan sebenar untuk mengangkat martabat bangsa, bukan atas benci, bukan atas dendam, semata-mata untuk kuasa.

3.  Biarlah perhimpunan kali ini kita tumpukan kepada satu persoalan sahaja. Rakyat Malaysia kini berada di sebuah persimpangan dilema – kekal atau ubah. Satu pangkah yang bakal menentukan nasib mereka hari ini, dan masa depan anak dan cucu mereka nanti

4.  Mengapa di kotak undi nanti, hanya dacing yang perlu dipangkah, dan bukan yang lain. Bahawa nostalgia dongeng yang dilagukan di sana, bahawa harapan palsu yang digula-gulakan mereka, tiada bandingannya dengan keazaman dan transformasi sebenar yang kita bawa.

5.  * Kaji Nostalgia Dongeng* Perkara pertama yang perlu kita bincangkan adalah soal nostalgia. Dewasa ini, rakyat Malaysia sering dimomok-momokkan dengan nostalgia-nostalgia dongeng. Tidak salah kita mengimbau semula kenangan-kenangan semalam. Tetapi bahayanya ialah apabila kita dijamukan nostalgia yang diubah, ditokok tambah, sehingga lebih sudu dari kuah

6.  Nostalgia dongeng ini bahaya, saudara-saudara. Dalam konteks politik ia boleh membawa bencana. Kerana kita boleh terbawa-bawa bukan dengan realiti, tetapi satu fatamorgana sejarah yang mengaburi mata. Bahawa zaman dahulu lebih baik daripada hari ini.

7.  Saya bukan mengatakan bahawa segala yang berlaku di zaman beliau adalah tidak bagus. Maklumlah, 22 tahun itu suatu tempoh yang panjang. Takkan tiada langsung perkara baik yang dilakukan dalam tempoh sepanjang itu. Cuma yang saya tidak boleh terima adalah dongeng bahawa di zaman beliau segala-galanya adalah sempurna dan indah belaka, tetapi sekarang ini keadaan begitu teruk sekali.

8.  Sebab itulah rekod lama mesti dikaji semula. Ada yang kata kenapa perlu dikorek cerita lama - tak perlu diungkit sejarah lalu. Jawapan saya, sejarah lalu perlu dikaji dan difahami, agar kesimpulan mudah tidak dibuat oleh para pengundi muda. Lebih dari itu, perlu kita kaji implikasi keputusan yang dibuat di zaman tersebut kerana legasi keputusan itu sesetengahnya begitu membebankan kita hari ini.

9.  Pastinya apabila berbicara tentang pembangunan, kita tidak boleh menafikan kepesatan kemajuan yang dibawa oleh pemimpin terdahulu. Memang betul Menara Kembar Petronas yang tinggi menjulang adalah legasi beliau, begitu juga Litar Lumba Sepang dan Putrajaya. Tapi jangan dilupa, kebanyakan daripada fokus kemajuan tersebut hanya di Lembah Klang sahaja.

10.  Bagaimana pula dengan kawasan-kawasan lain? Di zaman beliau tiada pula kita melihat projek-projek seperti koridor ekonomi di Iskandar, di Utara, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak. Juga Vision Valley di Negeri Sembilan. Pada zaman itu, ada ke dibina Lebuhraya Pan Borneo yang menyambungkan Sematan di hujung Sarawak hingga Tawau di hujung Sabah, tanpa tol?

11.  Pada zaman itu, negeri yang kadar kemiskinannya berada di paras bawah satu peratus hanya Kuala Lumpur sahaja - yang lain jauh lebih tinggi. Negeri beliau sendiri lebih sepuluh peratus. Takkan kita cetek sangat, semata-mata ada KLCC, ada Putrajaya, ada Litar Sepang, kita terus anggap semua rakyat dari Perlis ke Johor, Perak ke Sabah, hidup sama rata?

12.  Tetapi hari ini ketidaksamarataan itulah yang sedang diperbetulkan. Bukan sekadar Lebuhraya Pan Borneo, tetapi projek-projek seperti ECRL yang akan memacu kemajuan kawasan Pantai Timur telah dimulakan. Tok Bali, Jelawat, Kampung Raja, Kemasik, Maran dan Mentakab - ekonomi di kawasan-kawasan tersebut bakal dirancakkan. Begitu juga dengan pembangunan pesat yang bakal datang ke selatan Semenanjung dengan projek HSR. Jangan ingat hanya KL dan Singapura sahaja dihubungi. Negeri Sembilan, Melaka dan Johor akan turut menerima limpahan pembangunan daripada kewujudan keretapi laju ini.

13.  Belum lagi kita bincang tentang perjanjian berat sebelah yang sampai hari ini membebankan kita. Kerajaan mestilah memastikan perjanjian konsesi itu seimbang dan tidak berat sebelah. Dah namanya Kerajaan - ia wujud untuk menjaga kebajikan rakyat, bukan sekumpulan kecil tauke-tauke besar. Kenapa TNB dipaksa membeli kuasa janaan IPP untuk tenaga yang tidak digunakan? Tiap-tiap tiga tahun tol lebuh raya boleh dinaikkan tanpa terma, sebab apa? Sebab perjanjian pro-tauke/business berat sebelah.

14.  Bukan setakat itu sahaja, apabila syarikat-syarikat besar ini hampir bungkus, duit rakyat juga yang digunakan untuk menolong mereka. Saya yakin kita semua masih ingat istilah ‘bail-out’ yang begitu disebut-sebut pada satu ketika dulu. Konsortium Perkapalan Berhad milik Mirzan, bila dilanda krisis, Petronas melalui MISC yang selamatkan. RM1.7 bilion duit siapa? Duit kita, duit rakyat juga.

15.  Konon zaman mereka semua sempurna - zaman kita salah sedikit pun dah macam bencana. Bank Negara rugi tukaran asing lebih RM31 billion, kita lupa? Perwaja Steel rugi RM10 billion, pun kita lupa? PKFZ rugi RM4.6 billion, kita lupa juga? Belum kira BioTech Valley (Pelaburan RM1bililion), e-Village (Peruntukkan RM2billion),  InventQjaya (hutang RM242juta), dan macam-macam lagi - semua habuk pun tak dapat.

16.  Sewajarnya, tatkala keadaan lebih mudah ketika itu, janalah pulangan jangka panjang yang lebih menyeluruh dari setiap ringgit pelaburan yang diterima. Jangan hanya fikir output dan bangunan siap cepat-cepat sahaja.  Berbeza dengan kerajaan hari ini. Kita tidak hanya berfikir bila bangunan nak siap dan kerja selesai sahaja. Kita fikir jauh ke depan – bagaimana setiap ringgit pelaburan dapat memberikan kesan optimum dan menyeluruh. ECRL - ada latihan industri latih anak muda. MRT, ada institut latihan altih pakar Malaysia, juga bantu syarikat Bumiputera yang layak. Syarikat GLC dan syarikat yang dapat kontrak besar kerajaan diwajibkan latih anak muda melalui SL1M. Itu wawasan Najib Razak.

17.  Acapkali beliau mendabik dada dan mengingatkan kita akan kejayaan beliau memenangi lima pilihan raya umum, setiap kali dengan majoriti dua pertiga. Mereka yang hanyut dengan nostalgia dongeng ini lupa, bahawa persekitaran politik zaman dahulu jauh beza berbanding hari ini. Media arus perdana dikawal sepenuhnya, media alternatif kurang ada. Kalau zaman beliau ada internet, ada blog, ada segala bagai media sosial seperti hari ini, saya teringin nak tengok sama ada beliau masih boleh menang mudah dua pertiga.

18.  Ada pula yang mungkin kata, kenapa dulu senyap? Surat khabar yang kritikal ditutup. Pengkritik-pengkritik politik dicekup dan dihumban ke penjara dalam Ops Lalang. Bila nak tutup mulut lawan, berlakulah tragedi Memali konon atas alasan keselamatan negara. Mahkamah dikawal sepenuhnya, sehingga Ketua Hakim Negara dipecat tanpa sebab yang kukuh. Perkara asas dalam sistem kehakiman pun diabaikan - ISA digunakan, dijadikan senjata - untuk menahan individu-individu yang dirasakan ancaman politik tanpa perlu dibicara. Jangan lupa, Timbalan Perdana Menteri dia sendiripun kena tumbuk sehingga mata lebam. AUKU dijadikan pendinding untuk menghalang mahasiswa bersuara. Dalam parti, kerajaan, dan negara wujud a culture of fear. Kuku besi.

19.  Jadilah bangsa yang arif sejarah. Yang mengkaji sebelum percaya, yang menyelidik sebelum bersuara. Yang pendiriannya berhujung pangkal, bukan didorong natijah yang dangkal. Tidak salah menyanjung pemimpin, tetapi teraskanlah ia dengan analisa yang objektif, bukannya perasaan, mitos, dan dongeng.

20.  *Pakatan Harapan Palsu* Kalau mendengar janji-janji pihak lawan, nescaya kita akan jadi Superman. Boleh terbang, boleh angkat bangunan, boleh segala-gala. Namun hakikat dunia tidak sebegitu. Berjanji memang mudah – bulan, bintang, matahari waima cakerawala.

21.  Bila SST dimansuh, GST diperkenal - ramai tak setuju. Ikut harapan palsu pembangkang, mereka kata kalau menang akan hapuskan GST. Tetapi untuk tahun lepas sahaja, kutipan GST mencecah RM 41 bilion. Bukan RM41 bilion itu masuk poket pemimpin sebagaimana yang ditohmah anak-anak muda di luar sana. Duit inilah yang digunakan untuk buat jalan, bina lebuh raya, biaya pendidikan di universiti, naik taraf sekolah, bayar operasi hospital, tampung klinik kerajaan, dan macam-macam lagi. Lagi-lagi bila hasil pendapatan kerajaan daripada sektor minyak sudah berkurang

22.  Dari mana mereka nak ganti RM 41 bilion untuk menampung pembangunan negara? Ada yang kata jumlah itu boleh diperolehi apabila rasuah dibanteras. Betul ke pakatan pembangkang ini tiada ketirisan dan rasuah? Kes rumah banglo Ketua Menteri Pulau Pinang tu apa? Kes Rumah Disneyland di Ampang, kes Jambatan Klang ke-3 kos naik RM41 juta daripada asal, kes permit jual pasir, PBT beli barang harga dua kali ganda pasaran, tender terbuka jadi rundingan terus, kos perunding buat lebuh raya dan terowong sampai RM305 juta - bukankah itu semua ketirisan?

23.  Nak hapus tol, nak tangguh PTPTN, nak bagi macam-macam percuma. Kalau di negara maju, rakyat sudah tolak mereka. Sebab kalau janji manis sangat sampai boleh dapat Diabetes, ada dua sahaja kemungkinan. Pertama, kita terpaksa naikkan segala jenis cukai seperti mana negara Scandinavia yang rakyatnya membayar cukai pendapatan lebih 50% dan kadar GST nya lebih 20%. Kedua, negara kita bankrap sebab hutang tak terbayar. Itu baru negara yag gagal - failed state.

24.  Dulu janji nak mansuhkan terus hutang PTPTN. Sekarang dah cerdik sikit, justeru ubah pintu gol, minta ditangguhkan sahaja - hanya perlu mula bayar semula bila gaji cecah RM 4 ribu.  Tanpa rancangan jangka panjang cipta pekerjaan, ramai graduan nanti akan mengambil masa untuk cecah gaji RM 4,000. Kesannya, dana dalam Tabung PTPTN akan berkurangan. Kalau berkurangan, generasi adik-adik dan anak cucu kita nak pergi universiti guna duit apa?

25.  Isu PTPTN ini daripada dulu lagi telah diperjuangkan oleh Pemuda. Seawal April 2012, Pemuda lah yang anjur perbincangan tentang PTPTN.  September tahun yang sama, kerajaan buat pengumuman pertama ringankan beban penghutang PTPTN. Selepas itu, tahun demi tahun, bantuan ini diteruskan. Yang bayar konsisten, yang bayar melalui potongan gaji, mereka dapat diskaun. Yang mampu bayar penuh, dapat diskaun lagi besar - tahun ini diskaun 15%, tahun depan diskaun 20%.

26.  Mereka juga berjanji nak hapuskan semua tol. Nak rampas semula konsensi. Kerajaan dah buat kira-kira, kos ambil alih semua konsesi tol adalah sebanyak RM400 billion. Kerajaan faham akan cabaran yang mendepani rakyat. Apa yang kita lakukan ialah bila mampu, kita akan laksanakan. Dalam Bajet 2018 misalnya, kita umum mansuh empat tol. Di utara kita mansuh tol Bukit Kayu Hitam, di Selangor kita hapus dua tol, Batu Tiga dan Sungai Rasau, di Johor kita hapus tol EDL. Ini kerajaan bertanggungjawab, bukan politikus populis.

27.  Sama juga dalam menyelesaikan isu pengangkutan. Penyelesaian mereka - turunkan harga kereta. Tetapi apa akan jadi dengan masalah kesesakan lalu lintas dan pencemaran alam sekitar? Anak muda sekarang risau tentang pencemaran alam sekitar akibat terlalu banyak kereta di atas jalan raya. Dengan pengangkutan awam yang terjalin baik dan menyeluruh, rakyat dapat bergerak dengan murah tetapi selesa - alam sekitar juga terpelihara. Itu penyelesaian kita di bawah Datuk Seri Najib Razak.

28.  Mereka juga dulu angkuh mendabik dada. Kononnya mereka lebih baik dari kerajaan negeri yang lain - Lim Guang Eng pada tahun 2013 berkata (bagi saya sepenggal, saya selesaikan masalah banjir di Pahang. Dia juga perli Kelantan berhubung isu banjir. Tetapi lihat sahaja tahap kerakusan mereka dalam meluluskan projek pembangunan di Tanjung Bungah, Pulau Pinang. Tahun 2016, 8 projek, tahun 2015 8 projek, dari tahun 2008 ke 2014, 24 projek diluluskan. Saya nak tanya - projek pembangunan berleluasa yang tak terkawal ini menguntungkan siapa - rakyat jelata atau pemaju kroni?

29.  Sama juga dengan Selangor. Konon nak hapus tol, tetapi kerajaan Pakatan Harapan Palsu juga yang setuju DASH & SUKE dibuat. Enam lebuh raya bertol pun mereka bersetuju dan masukkan dalam rancangan pembangunan negeri sehingga 2035. PKNS pula pegang 30% saham KESAS, Kumpulan Peransang Selangor pegang 20% Sprint, dua-dua syarikat kerajaan negeri tetapi KESAS dan Sprint masih lagi lebuh raya bertol.

30.  Itulah skrip Pakatan setiap kali nak kuasa - harapan palsu. Pakatan Harapan Palsu. Segala peluang dan ruang digunakan untuk menuba rakyat dengan janji manis hari ini, demi undi hari ini, untuk mereka berkuasa juga hari ini. Janganlah kita menjadi generasi yang hanya ghairah memikirkan tentang diri dan dunianya hari ini, sehingga lupa akan peranannya terhadap hari esok. Termakan harapan palsu, musnahlah masa depan anak cucu.

31.  *BN - Transformasi Sebenar* Kerajaan yang terbaik untuk kita, dan juga anak cucu kita adalah yang melihat hari esok sama pentingnya seperti hari ini, jika tidak lebih lagi. Yang memastikan masa depan harus lebih baik dari sekarang, dan bukan sebaliknya.

32.  Namun ini tidak bermakna kita buta dan tak endah kepada cabaran rakyat hari ini. Pemuda sedar – cabaran kehidupan sehari-hari menyebabkan angka kejayaan makro ekonomi kurang bererti buat mereka. Sedaya upaya, kami cuba ringankan bebanan semasa. Namun realitinya, cabaran struktur ekonomi sebegini tiada jawapan pintas - intervensi yang diperlukan semuanya memakan masa.  Bila mana pentadbiran dahulu wawasannya lebih untuk membina monumen gergasi tetapi tidak untuk membangunkan rakyatnya sendiri. Selepas itu, barulah ada usaha untuk mengisi kelompongan yang ada. Zaman Pak Lah, baru kita beri fokus kepada pembangunan modal insan. Zaman Najib pula kita mulakan transformasi segala serbi

33.  Walaupun Malaysia gah ketika itu, kesannya begitu dirasai sekarang. Rakyat perit hari ini lantaran tidak cukup dipersediakan. Kesilapan ini yang sedang kita perbetulkan, agar anak cucu kita tidak serupa nasibnya. Alhamdulillah, segala apa yang Kerajaan lakukan bagi memperbaiki keadaan hari ini ternyata telah mula membuahkan hasil. Perubahan demi perubahan, kejayaan demi kejayaan telah dilihat. Ini bukan hanya angka-angka besar di permukaan sahaja - ia menjalar di peringkat akar umbi, dirasai oleh rakyat sendiri.

34.  Ini bukti kepada satu transformasi sejati - hari ini kita pelihara, masa depan kita bina. Transformasi secara menyeluruh - pelan transformasi ekonomi dan kerajaan, di bawahnya segala aspek secara terperinci kita sentuh. Inilah dia transformasi sebenar.

35.  *TN50 Kewajiban Pemimpin* Dalam konteks ini, saya amat berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana selaku Menteri Belia dan Sukan, saya diberikan mandat untuk memulakan usaha Transformasi Nasional 2050 atau TN50 - inisiatif paling penting bagi menyediakan Malaysia untuk menghadapi segala cabaran mendatang. Ini bukan gimik politik. Kita benar-benar kaji segala pola yang bakal beri impak kepada rakyat Malaysia nanti.

36.  Mana ada kita dengar sangat pihak pembangkang bercakap tentang persediaan untuk cabaran masa depan ini. Bila mereka sibuk kritik kita, jaja harapan palsu, kita buat apa? Kita sediakan rakyat untuk masa depan, kerana failing to plan is planning to fail. Jika kita gagal untuk merancang, kita merancang untuk gagal. Pemimpin kita turun padang setiap minggu untuk apa? Untuk pastikan rakyat Malaysia bersedia untuk masa hadapan. TN50 is securing a better future for Malaysia.

37.  Apa yang kita buat dengan TN50 ini, perkara yang wajib. Melihat ke hadapan dan membina masa depan yang lebih baik, adalah tanggungjawab kita sebagai pemimpin. Mungkin faedahnya tak sempat kita nikmati, tetapi percayalah, anak cucu kita nanti akan hargai budi dan bakti ini.

38.  *Agenda Sosial Baharu* Bercakap tentang menyediakan masa depan yang baik untuk rakyat Malaysia, Pemuda ingin mengutara sebuah kebimbangan yang cukup serius – iaitu hasrat kita untuk melihat transformasi yang bukan hanya membawa manfaat kepada majoriti tetapi memastikan tiada anak muda yang hanyut ketinggalan. Pemuda ingin menzahirkan sokongan penuh kepada agenda sosial baharu yang dibawa Presiden dalam Belanjawan 2018 dengan penubuhan Socio Economic Research Institute atau SERI.

39.  Saya bukan hanya bercakap sebagai Ketua Pemuda, hanya sebagai Menteri Belia, tetapi juga sebagai seorang bapa. Agenda sosial baharu ini diperlukan sekarang juga. Pelbagai isu sosial membelenggu dan mencengkam masyarakat, terutamanya anak muda Melayu hari ini. Mereka bukan hanya berhadapan gejala sosial yang biasa tetapi juga gaya hidup sedentari, masalah kesihatan mental, ketagihan skrin dan budaya mencemuh dan mengecam seperti cyber bully. Nilai kekeluargaan di rumah pula sudah tidak seperti semalam.

40.  Sebagai Ketua Pemuda, saya tidak sanggup melihat Malaysia dibawa ke tahun 2050 tanpa setiap satu anak mudanya dibawa bersama. Maka Pemuda akan memberikan sokongan dan kerjasama penuh kepada SERI untuk meneliti permasalahan sosial ini. Transformasi kerajaan dah cantik, transformasi ekonomi dah cantik, transformasi politik pun dah cantik. Kita lengkapkan ia dengan transformasi sosial supaya tidak ada seorang pun anak bangsa yang ketinggalan.

41.  Kerajaan yang bertanggungjawab adalah kerajaan yang memperbetulkan kekurangan lalu, menguruskan keutamaan dan cabaran semasa serta merancang yang terbaik untuk masa depan. Inilah tunjang bagi transformasi sebenar. Yakinlah bahawa transformasi sebenar inilah nikmat sejati, jangan diubah-ubah lagi.

42.  Namun, di sebalik kejayaan kita selama ini, saya akui, kami juga tidak sempurna – kerana itulah lumrah semua manusia baik kami atau mereka, tidak lari dari salah dan dosa. Dan untuk itu, saya mohon ampun dan maaf di atas segala salah dan silap kami. Namun, apabila rakyat menilai keseluruhan rekod pentadbiran sedia ada, nilai sedalamnya dan kaji seluruhnya, do so on balance, mereka akan menyedari bahawa lebih banyak baik dari buruknya.

43.  *Persediaan Parti* Maka mesej terakhir saya pada pagi ini adalah tentang persediaan parti. Persediaan kita sebagai UMNO. Yang pertama - kita sudah tawarkan diri sebagai kerajaan masa depan melalui TN50. Maka kita juga perlu tawarkan diri sebagai parti masa depan. Kita perlu yakinkan rakyat bahawa UMNO adalah a party of the future, dan bukan lagi parti semalam.

44.  Keduanya, solidariti kita kepada parti. Kita jangan pandang enteng cabaran yang dibawa parti serpihan yang keluar daripada UMNO. Walaupun kita yakin UMNO lebih kuat, UMNO lebih hebat, kita jangan lupa bahawa parti Bunga ini akan tetap mencedok dari kolam penyokong yang sama. Maka sayangilah UMNO lebih dari kita sayang diri sendiri. Jangan sekali gadaikan solidariti kepada parti.

45.  Ketiga, solidariti kita sebagai sebuah parti. Saat ini, keutamaan kita adalah pilihan raya, dan bukan pemilihan parti. Jangan terbeban dengan persoalan siapakah yang perlu diundi nanti. Jadi, we settle the big question today, tak perlu lagi dibelenggu persoalan ini. Maka dengan itu, di pentas ini Pemuda nak cadangkan - bila menang pilihan raya nanti inshaAllah, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tak perlu dipertandingkan, dan kita beri sokongan sebulat hati kepada Dato Sri Najib Razak dan Datuk Seri Zahid Hamidi untuk terus kemudi parti.

46.  *Muafakat Orang Melayu* UMNO sebagai sebuah gerakan siasah Melayu, bukan sahaja memayungi sebagai khemah besar buat semua orang Melayu, tetapi juga parti yang menjadi nadi dan teras muafakatnya seluruh rakyat Malaysia, di bawah Barisan Nasional. Itulah keramatnya UMNO. Wadah orang Melayu yang bukan sahaja menjaga bangsanya tapi juga bangsa lain. Parti yang mencerminkan sifat terpuji orang Melayu sebagai bangsa pemimpin.

47.  Namun, parti UMNO kini  berdepan dengan orang Melayu yang berada di persimpangan jalan – antara mantap dengan perpaduan atau ranap dengan perpecahan. Hari ini, bangsa kita berpecah belah dek pilihan politik yang tumbuh melata, orang Melayu bercakaran hingga tidak lagi sehaluan. Apakah bangsa kita sanggup menjadi umpama buih di lautan, nampak banyak kelihatan tapi sekali ditepuk pecah bertebaran. Insaflah, pilihan raya kali ini bukan hanya penting bagi masa depan Malaysia, tetapi juga masa depan bangsa.

48.  Kepada bangsaku izinkan saya berpesan, bermuafakatlah. Bak titah amanat Tuanku Sultan Johor minggu lalu – muafakat, tanpa kompromi. Sanggupkah kita menghadap bangsa yang tertiarap di tanah sendiri, mewariskan parti UMNO sekadar di nota kaki? Sekali Melayu kehilangan kuasa kerana berbalah dan bersengketa, musnahlah harapan dan masa depan bangsa. Sekali kuasa Melayu berpecah di peti undi, ia tak mungkin bercantum kembali.


[Video Ucapan penuh]


Post a Comment

0 Comments