Iklan

UPKO yakin usaha 'tebuk atap' ganti Kerajaan Perpaduan tidak akan berlaku - Ewon

bhnews@bh.com.my

PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) kekal dengan pendirian tidak menyokong sebarang usaha 'tebuk atap' menggantikan kerajaan Perpaduan.

Presidennya, Datuk Ewon Benedick juga yakin perkara itu tidak akan berlaku susulan sokongan padu yang diberikan Sabah termasuk pihaknya terhadap Kerajaan Perpaduan.

"Saya antara wakil rakyat yang akan menghalang apa juga usaha dilaksanakan untuk menggantikan atau menggulingkan kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya.

"Kita semua maklum selepas pilihan raya, akan ada gabungan parti yang bertanding bergabung untuk menubuhkan kerajaan dan pada saya, kerajaan itu harus kekal sehingga tamat penggal atau dibubarkan.

"Saya akan terus dengan pendirian saya. Selagi saya menjadi Presiden UPKO, saya tidak akan memberi sokongan kepada mana-mana usaha yang cuba untuk menggantikan kerajaan yang ditubuhkan atau dipilih selepas perundingan sah selepas pilihan raya," katanya.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berkata demikian ketika ditemui selepas program Ramah Mesra dan Rumah Terbuka Krismas bertempat di Dewan Pusat Kebudayaan Penampang, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Ewon turut berkata, kekal memberi sokongan penuh kepada Ketua Menteri Sabah dan juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor untuk kekal menerajui kerajaan negeri sehingga tamat penggal.

"Kita memerlukan satu kerajaan negeri yang sangat stabil dan pada saya, biarlah kerajaan yang ada pada hari ini terus kekal.

"Sabah masih mempunyai perkara tertunggak (hak negeri Sabah yang dituntut) dan itu memerlukan kestabilan politik," katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



source https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/12/1193087/upko-yakin-usaha-tebuk-atap-ganti-kerajaan-perpaduan-tidak-akan

Post a Comment

0 Comments