Iklan

Kes Spanco: Muhyiddin beri penjelasan

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri antara Mac 2020 hingga Ogos 2021 mengeluarkan kenyataan mengenai isu Spanco, syarikat membekal dan mengurus kenderaan kerajaan.


KUALA LUMPUR: Khamis lalu, Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memaklumkan pihaknya sudah merakam percakapan bekas Menteri Kewangan terbabit dalam kontrak Spanco Sdn Bhd (Spanco) bagi tempoh 2020-2021.

Menjelaskan kes perolehan membabitkan syarikat membekal dan mengurus kenderaan kerajaan itu ketika ini masih dalam siasatan dan akaun berkaitan masih dibekukan, tambahnya, ramai sudah dipanggil memberi keterangan.

Azam juga dilaporkan berkata, siasatan kes Spanco kini menjurus kepada kontrak pemerolehan antara 2020 hingga 2021 dan SPRM sudah merakam percakapan Menteri Kewangan ketika itu, selain tidak menolak kemungkinan prosiding sama ke atas bekas Perdana Menteri tempoh sama.

"Kita serah kepada pegawai penyiasat jika ada keperluan memanggil bekas Perdana Menteri itu untuk memberi keterangan," kata Azam.

Pada 20 Januari lalu, media melaporkan SPRM melakukan serbuan kediaman seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri bagi siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan perolehan dan pengurusan kenderaan kerajaan bernilai RM4.5 bilion.

SPRM turut menyerbu empat syarikat termasuk pembekal kenderaan kerajaan dengan memanggil lebih 20 individu dan sudah membekukan kira-kira 80 akaun syarikat serta individu yang berkaitan dalam kes itu.

Pada 5 Februari, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyifatkan kontrak perolehan Spanco hanya merugikan negara dan tidak menyenangkan menyenangkan penjawat awam yang menggunakan kemudahan berkenaan.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan beliau terbabit dalam salah laku berhubung pemberian kontrak pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan kepada Spanco.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden BERSATU itu menyifatkan dakwaan mengaitkannya dalam isu itu sebagai tohmahan jahat yang berlegar di media massa dan media sosial tanpa butiran lengkap bagaimana beliau terbabit dalam perkara dan salah laku berkenaan.

"Samalah seperti tuduhan saya menyeleweng wang negara bernilai ratusan bilion ringgit, yang sehingga kini tidak dapat dibuktikan. Saya sudah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan rasuah berkaitan projek Jana Wibawa.

"Rayuan pendakwaan akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 28 dan 29 Februari ini. Saya berdoa semoga mendapat keadilan di mahkamah," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

Turut menyifatkan dakwaan itu sebahagian siri 'pembunuhan watak' dibuat oleh musuh politik untuk menjejaskan reputasinya, Muhyiddin percaya, kerajaan mempunyai maklumat mengenai kontrak Spanco.

"Saya percaya maklumat mengenainya ada di Kementerian Kewangan. Perlu didedahkan juga ialah tarikh bila kontrak tersebut diberikan kepada Spanco. Janganlah membuat tuduhan melulu terhadap saya.

"Sebagai Perdana Menteri antara Mac 2020 dan Ogos 2021, saya tidak terbabit dalam sebarang pemberian kontrak kerajaan yang diuruskan oleh Kementerian Kewangan," katanya.

Sumber : BH Online

Post a Comment

0 Comments