Iklan

Permohonan UPU Online dibuka hari ini

Pelajar baharu pada hari pendaftaran di Universiti Putra Malaysia (UPM). - Foto hiasan NSTP


KUALA LUMPUR: Permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam bagi sesi akademik 2024/2025, melalui UPUonline bagi program asasi, sijil, diploma dan ijazah, dibuka mulai hari ini hingga 29 Mac untuk permohonan fasa pertama dan dari 29 April hingga 9 Jun untuk Fasa Dua.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), dalam satu kenyataan berkata permohonan dibuka untuk kemasukan ke 20 universiti awam, 36 politeknik, 105 kolej komuniti dan empat institusi latihan kemahiran awam (ILKA).

Permohonan dibuka kepada pemegang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), atau mereka yang mempunyai kelayakan yang setaraf bagi semua program akademik untuk fasa pertama permohonan, manakala hanya program tanpa temuduga dan/atau ujian sahaja dibuka untuk Fasa Dua.

"Semua calon yang berkelayakan dipelawa merebut peluang ini untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Sebanyak 503 program pengajian ditawarkan kepada lepasan SPM, dan 1,111 program pengajian ditawarkan kepada lepasan STPM/setaraf oleh universiti awam, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA di seluruh negara," kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, KPT berkata pembelian Nombor Pin UPUOnline boleh dibuat melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) di 350 Kaunter Cawangan BSN, 700 Mesin Juruwang Automatik (ATM) BSN dan Perbankan Internet myBSN.

"BSN akan mengeluarkan nombor PIN bersama salinan resit pembayaran," katanya.

Pemohon juga diminta memastikan slip pembayaran disimpan sebagai rujukan sebagai bukti pembelian yang sah.

Sumber : BH Online

Post a Comment

0 Comments