Iklan

Tidak perlu naikkan OPR rangsang semula ringgit - Penganalisis



KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk menaikkan penanda kadar faedah tempatan sebagai langkah segera untuk menangani kelemahan ringgit ketika ini, kata penganalisis.

Sebaliknya, menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) dilihat hanya akan memburukkan keadaan berikutan kos pembiayaan menjadi makin mahal dan boleh membantutkan pertumbuhan ekonomi negara.

Pergerakan ringgit yang lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang serantau ketika ini tidak dapat dielakkan memandangkan ia dipengaruhi oleh faktor luaran dan ia di luar kawalan.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata buat masa ini, ringgit berdepan sentimen yang lemah berikutan langkah People Bank of China (PBoC) mengurangkan kadar faedahnya dan kebarangkalian kadar faedah AS dikurangkan pada Mac adalah tipis, sekali gus menyokong dolar AS mengukuh.

Justeru, baginya, tiada jaminan dengan menaikkan kadar faedah akan mengukuhkan ringgit pada masa ini.

Lagipun, katanya, dasar Bank Negara Malaysia (BNM) adalah tidak menggunakan kadar dasar semalaman (OPR) bagi mengawal pergerakan ringgit.

Justeru, beliau mencadangkan apa yang boleh dilakukan kini adalah kerajaan menumpukan kepada usaha menstruktur semula ekonomi secara konsisten bagi merangsang keyakinan pelabur asing untuk terus melabur di negara ini.

"Namun, pelaksanaan pembaharuan ekonomi seperti subsidi, liberalisasi industri, penambahbaikan sistem cukai dan pencen antara lain perlu dimaklumkan dengan jelas dan dilaksanakan secara beransur-ansur.

"Ini bagi mengelakkan kekeliruan dan kejutan yang tidak perlu kepada orang ramai. Justeru, ia mengambil masa yang panjang jika kita mahu menangani kelemahan nilai ringgit.

"Jika tidak, kita akan terus memadam kebakaran dan hanya akan memburukkan keadaan apabila dasar dilaksanakan tidak pada kelajuan yang betul dan tidak diselaraskan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada BH bagi mengulas mengenai keperluan untuk menaikkan kadar faedah bagi menangani kelemahan ringgit.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, pula berpendapat, bagi mengukuhkan nilai ringgit, koordinasi dan kerjasama di peringkat kerajaan sangat penting untuk membuat tindakan bersama bagi menyokong ringgit.

Beliau mencadangkan penubuhan jawatankuasa dari Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk mengambil tindakan terhadap kelemahan ringgit.

Contohnya, katanya, hasıl eksport negara mesti ditukar kepada ringgit sekurang-kurangnya 80 peratus dari keseluruhan dan membawa pulang pelaburan dari luar negara dan ditukarkan kepada ringgit bagi mengukuhkan kembali ringgit.

"Seterusnya, mengurangkan import barangan makanan, memberikan insentif harga keluaran tempatan yang lebih murah, mengurangkan cukai korporat dari 24 peratus bagi menarik pelaburan asing membawa masuk mata wang luar dan memberikan potongan cukai kepada pelaburan domestik bagi pelabur domestik.

"Langkah yang boleh dilakukan lagi ialah menambahkan jumlah perbelanjaan kepada sektor pelancongan supaya lebih ramai pelancong asing melawat dan berbelanja di Malaysia," katanya.

Mengenai ringgit yang lemah berbanding mata wang serantau seperti dolar Singapura, rupiah Indonesia dan baht Thailand, Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, berkata ia berkemungkinan rizab dolar AS negara ini lebih kecil berbanding negara jiran itu.

Beliau berkata, di Thailand, faktor 'dolar pelancong' turut menyokong, sementara di Indonesia pula, jumlah pelaburan asing jangka panjang lebih tinggi berbanding Malaysia.

Sementara di Singapura pula, jelasnya, mereka menyimpan dolar AS sebagai rizab.

"Jadi sekarang ini, kerajaan sepatutnya menumpukan kepada bagaimana membangun ekonomi dalam negara untuk memacu ekonomi. Kalau ekonomi kita semakin segar, pelabur asing akan masuk," katanya.

Sumber : BH Online

Post a Comment

0 Comments