Iklan

Ubah mentaliti cepatkan proses Malaysia sebagai hab pendidikan global

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran. Gambar ihsan MQA


SEPANG: Mengubah mentaliti 'saya' kepada 'kita' mampu mempercepatkan proses negara ini menjadi hab pendidikan tinggi global.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata warga pendidikan tinggi terutama dari institusi pendidikan tinggi (IPT) sama ada awam mahu pun swasta perlu segera menukarkan asas itu untuk kecemerlangan bersama.

Katanya, terdapat 20 universiti awam (UA) dan lebih 400 IPT swasta di Malaysia, justeru apabila bergerak secara 'silo' atau bersendirian, hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global pasti sukar.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya IPT tempatan bergerak secara berkumpulan atau dengan mentaliti 'kita', lebih banyak perkara boleh dijayakan seterusnya mempercepat proses menjadikan negara sebagai hab pendidikan global.

"Inilah pendekatan yang sering dikongsikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sejak menerajui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) supaya warganya mampu menukar cara, budaya dan tabiat berfikir.

"Kerjasama semua IPT sama ada awam mahu pun swasta pastinya mampu menghasilkan produk pendidikan yang luar biasa sama ada dalam bentuk modal insan, penyelidikan atau khidmat perundingan," katanya.

Mohammad Shatar berkata, warga IPT ialah pemikir negara, justeru kombinasi golongan itu mampu menghasilkan inovasi luar biasa supaya Malaysia dirujuk dan disegani di persada global.

Dalam konteks ini, katanya, persaingan kurang sihat misalnya sesebuah IPT hanya mahu menonjol bersendirian perlu dilihat semula kerana hanya akan merugikan pendidikan tinggi negara.

Misalnya, UA yang terdiri daripada beberapa kategori seperti universiti penyelidikan (RU), universiti komprehensif dan universiti berfokus boleh bekerjasama bagi menghasilkan produk atau kajian.

"Universiti penyelidikan boleh bekerjasama dalam menjalankan sesuatu kajian kerana keahliannya dan berkongsi satu geran, malah kaedah ini mampu menjimatkan.

"Ini lebih mencerminkan universiti penyelidikan Malaysia sebagai satu pasukan berbanding hanya menonjolkan universiti A, B atau C umpama 'segenggam lidi sukar dipatahkan berbanding sebatang lidi'," katanya.

Mohammad Shatar menambah, di peringkat MQA pendekatan 'kita' sudah lama dipraktikkan apabila setiap garis panduan dan nota penasihatan yang dikeluarkan turut membabitkan pakar dari IPT.

"Di samping itu, pembentukan atau penambahbaikan standard sesuatu program turut membabitkan segenap lapisan warga kementerian atau IPT sama ada awam mahu pun swasta," katanya.

Sumber : BH Online

Post a Comment

0 Comments