Iklan

Angkara berebut harta, pasangan suami isteri dibunuh

Mayat pasangan suami isteri berusia 74 tahun dipercayai dibunuh ditemui dalam kebun sawit di Pantai Remis, di sini, petang semalam. - Foto ihsan polis


MANJUNG: Pergaduhan kerana berebut harta dipercayai menjadi punca seorang lelaki warga emas sanggup membunuh pasangan suami isteri menggunakan sabit sawit dalam kejadian di kebun sawit di Kampung Cina, Pantai Remis, di sini, petang semalam.

Suspek berusia 61 tahun adalah bapa saudara kepada mangsa lelaki.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah, berkata pasangan suami isteri berkenaan masing-masing berusia 74 tahun maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan muka.

Beliau berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.30 petang.

"Siasatan awal mendapati, kejadian disyaki berpunca daripada perebutan harta yang menyebabkan berlakunya pergaduhan antara suspek berusia 61 tahun dengan kedua-dua mangsa.

"Mayat mangsa ditemui di dalam kawasan kebun sawit dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk proses bedah siasat.

"Susulan itu polis menahan suspek dan dia akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seri Manjung esok untuk permohonan reman untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Asisten Superintenden Ashazarul Khairi Ab Hamid di talian 012-5087026 bagi membantu siasatan," katanya.

Sumber : BH Online

Post a Comment

0 Comments