Iklan

Kos pasang panel solar kediaman semakin rendah, kerajaan sasar mampu milik



KUALA LUMPUR: Kos pemasangan sistem solar kepada rakyat semakin rendah dan kerajaan menyasarkan ia diperluaskan dan menjadi mampu milik, tidak hanya bertumpu kepada golongan T20.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perluasan pemasangan sistem solar di negara ini sudah mewujudkan 'economies of scale', di mana kos purata bagi pemasangan sistem solar PV sudah menyaksikan penurunan kira-kira 50 peratus.

Katanya, bagi sebuah rumah teres, kosnya kini sekitar RM12,000 hingga RM15,000 berbanding RM24,000 hingga RM30,000 pada 2011 ataupun RM40,000 hingga RM50,000 bagi rumah Semi-D dan banglo berbanding RM80,000 hingga RM120,000 pada 2011.

"Penurunan kos ini menjadikan pemasangan sistem solar yang sebelum ini hanya mampu dilakukan golongan T20 pada awal pelaksanaan program Tenaga Boleh Baharu (TBB), kini juga boleh dilakukan oleh golongan M40," katanya menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, antara program pembangunan yang dilaksana bagi menurunkan kos pemasangannya termasuk Program Tarif Galakan (FiT), Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dan Program Solar untuk Kegunaan Sendiri (SelCo).

"Sehingga kini, lebih 16,000 pengguna domestik dengan jumlah kuota 120MW sudah mendapat manfaat daripada Program NEM," katanya.

Berkenaan jumlah syarikat yang menawarkan model langganan Kos Modal Sifar bagi rumah kediaman pula, Fadillah berkata sehingga Disember 2023, sebanyak 235 syarikat sudah berdaftar sebagai Registered Solar PV Investor (RPVI) dengan SEDA Malaysia.

"Ia membolehkan syarikat berkenaan menguruskan pemasangan serta pembiayaan sistem solar termasuk menawarkan pilihan kaedah pembayaran secara ansuran atau langganan kos modal sifar kepada pengguna untuk pemasangan sistem solar di rumah kediaman," katanya.

Menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Semporna) mengenai pelaburan bagi membangunkan projek solar panel di Sabah, Fadillah berkata kerajaan sedia membantu, namun kerajaan negeri perlu merancang pembangunannya.

"Dari segi menarik pelabur datang bagi 'join venture' untuk membuat solar panel di Sabah, kena dirancang di peringkat negeri dan pusat sedia membantu.

"Di Sarawak, memang ada syarikat yang buat solar panel untuk pasaran eskport. Ramai sebenarnya sudah buat (panel solar), sebab itu kosnya semakin menurun disebabkan adanya pengeluaran tempatan ini," katanya.

Sumber : BH Online

Post a Comment

0 Comments