Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (Pemudah) akan terus membantu meningkatkan rangking antarabangsa Malaysia dari segi pencapaian, daya saing dan menjalankan perniagaan dengan mempermudahkan proses dan mengurangkan kos, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Ali, yang juga Pengerusi Pemudah berkata, pasukan petugas khas itu meraikan pencapaian 10 tahunnya pada 2017 dengan keazaman yang lebih tekad, meningkatkan lagi komitmen dan semangat jitu bagi menangani dan menyelesaikan isu yang memberi kesan kepada masa dan kos menjalankan perniagaan dan memupuk amalan kawal selia yang baik bagi perniagaan.
"Pemudah terus merangka pelbagai inisiatif bagi menambah baik persekitaran menjalankan perniagaan dengan kementerian, agensi dan pihak berkepentingan. Akta Syarikat 2016 yang dikuatkuasakan pada 31 Jan tahun ini merupakan contoh pembaharuan yang diambil bagi perbadanan, dengan tujuan mempermudahkan proses, mengurangkan kos dan masa menunggu termasuk permit kontrak.
"Inisiatif lain termasuk pelaksanaan lima modul dalam sistem e-Tanah pada 19 Jun tahun ini bagi Kuala Lumpur yang menambah baik masa yang diambil dalam pencarian hak milik tanah, pencarian syarikat dan pencarian pembubaran menerusi satu sistem. Sistem itu dijangka dilanjutkan ke negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia dalam tempoh beberapa tahun akan datang,? katanya kepada pemberita selepas melancarkan Laporan Tahunan Pemudah 2016, di sini, hari ini.
Pemudah, yang diwakili individu berkelayakan tinggi dan berkemampuan daripada sektor awam dan juga swasta, ditubuhkan pada 7 Feb, 2007. Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia, Tan Sri Saw Choo Boon, adalah Pengerusi Bersama pasukan petugas itu.
Ali berkata, Malaysia kekal sebagai ekonomi paling kompetitif dalam kalangan negara membangun di Asia dan disenaraikan di kedudukan yang baik dalam senarai Laporan Kompetitif Global, Buku Tahunan Daya Saing Dunia dan Laporan Menjalankan Perniagaan edisi 2016-2017.
"Bagaimanapun, dalam dunia yang semakin kompetitif ini, kita tidak boleh sentiasa berpuas hati dengan kejayaan kita. Kita akan terus mencari punca penurunan dalam petunjuk rangking dan membuat penambahbaikan dengan segera walaupun penurunan dalam keseluruhan rangking juga disebabkan oleh faktor-faktor di luar kawalan kerajaan,? katanya.
Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2017 menyenaraikan Malaysia di kedudukan ke-23 mengatasi ekonomi seperti Thailand (ke-46), Indonesia (ke-91), Jepun (ke-34), China (ke-78), Perancis (ke-29), Switzerland (ke-31) dan India (ke-130). Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia berada di kedudukan kedua selepas Singapura.
-Bernama
#MOFComms
0 تعليقات