Iklan

EPerolehan Baharu Diyakini Tingkat Aspek Kawalan Dan Pemantauan Penggunaan Peruntukan Kerajaan


Sistem ePerolehan baharu menggantikan sistem sedia ada yang akan digunakan sepenuhnya bermula 1 Jan ini, diyakini dapat memastikan aspek pengawalan dan pemantauan secara optimum terhadap penggunaan peruntukan kerajaan.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata semua perolehan kerajaan bagi bekalan dan perkhidmatan bukan perunding akan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian melibatkan semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan persekutuan.

"Buat masa ini, perolehan kerajaan bagi bekalan dan perkhidmatan dianggarkan bernilai RM18 bilion setiap tahun," katanya kepada media selepas majlis pelancaran ePerolehan baharu di sini hari ini.

"Manakala bagi bajet perbelanjaan projek pembangunan, ia masih di bawah Kementerian Kerja Raya, namun akan dibawa masuk ke dalam sistem ePerolehan bagi fasa dua di masa akan datang," katanya.

Melalui sistem tersebut juga, kata beliau, kerajaan akan mempunyai data dan maklumat mengenai semua pembekal yang boleh digunakan bagi merangka dasar pada masa akan datang.

Johari berkata ePerolehan baharu itu juga akan membantu meningkatkan kecekapan kepada sistem pemprosesan selain bersifat terbuka, adil dan saksama yang mana semua pihak mempunyai peluang yang sama untuk menyertainya.

Secara tidak langsung, sistem itu juga akan menjimatkan masa dan mengurangkan "kuasa budi bicara" pada mana-mana pegawai dalam mengendalikan isu-isu pembelian, katanya.

Dalam perkembangan lain, semasa ditanya mengenai tindakan kementerian untuk mengatasi lambakan projek hartanah di negara ini, Johari berkata pemaju diminta mendapatkan nasihat daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Beliau berkata jumlah hartanah tidak terjual kini kira-kira 130,000 unit dan adalah lebih baik bagi pemaju hartanah memberi maklumat lebih lanjut kepada KPKT di mana terlebih penawaran itu terutamanya hartanah jenis servis dan apartmen studio.

-- BERNAMA

Post a Comment

0 Comments