Iklan

Pemandu disamun guna parang, kayu besbol di jalan sibuk



safeek@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu kereta jenis Mercedez-Benz cedera, termasuk patah tulang jari tangan, apabila disamun dua lelaki bersenjatakan kayu besbol dan parang di Jalan Persiaran Pegaga, Klang, Selangor, semalam.

Berdasarkan satu rakaman video berdurasi 56 saat yang tular dalam laman sosial X, mangsa lelaki berusia 40 tahun itu disamun ketika memberhentikan keretanya di jalan raya yang dipenuhi kenderaan lain.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamalariffin Aman Shah, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 2.50 petang selepas mangsa dikata baru mengeluarkan wang dari mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Jalan Meru, Klang, pada jam 2 petang.

"Mangsa yang memandu kereta jenis Mercedez-Benz berwarna hitam kemudian menuju ke Bukit Tinggi, Klang, untuk bertemu rakan sebelum didatangi suspek ketika memberhentikan kenderaannya di Persiaran Pegaga.

"Salah seorang suspek terbabit yang bersenjatakan kayu besbol memecahkan cermin pintu belah penumpang hadapan, manakala seorang lagi bersenjatakan parang pula memecahkan cermin pintu bahagian pemandu," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Kamalariffin berkata, suspek memaksa mangsa menyerahkan beg komputer riba sebelum melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Toyota Yaris berwarna kelabu.

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan membabitkan patah tulang jari ketiga tangan kiri dan luka calar sebelah lengan kanan, selain kerugian RM6,000 akibat kehilangan komputer riba serta kerosakan kedua-dua cermin pintu keretanya," katanya.

Beliau berkata, Polis Klang Selatan memandang serius kejadian itu dan telah menggerakkan semua elemen agar suspek terbabit dapat ditangkap dalam masa terdekat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan melalui talian 03-33772222 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



source https://www.bharian.com.my/berita/kes/2023/12/1194448/pemandu-disamun-guna-parang-kayu-besbol-di-jalan-sibuk

Post a Comment

0 Comments