Iklan

Pemilihan MPP: Demokrasi mahasiswa subur di bumi UKM

Penyuburan demokrasi melalui Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru sahaja melabuhkan tirainya. Tahniah kepada yang terpilih bagi membentuk ‘kerajaan’ Kesatuan Mahasiswa UKM bagi sesi 2023-2024 melalui majlis penerimaan watikah perlantikan MPP UKM.

Pemilihan MPP atau dahulunya dikenali sebagai Pilihanraya Kampus (PRK) adalah proses pemilihan pemimpin pelajar yang dilaksanakan khususnya di semua Universiti Awam (UA) pada setiap sesi pengajian dan telah diwartakan di dalam Akta Universiti Dan Kolej Universiti (AUKU).

MPP berperanan mewakili suara, pandangan dan hasrat pelajar dalam pelbagai hal kepada sesebuah kampus berkenaan.

Menyingkap sejarah perjalanan ‘Demokrasi’ kampus, ia merupakan suatu peristiwa yang penuh warna warni. Dahulunya, pesta demokrasi ini diuruskan sepenuhnya oleh pihak Hal Ehwal pelajar (HEP) Universiti secara keseluruhannya.

Perjalanan pilihanraya kampus ini sering disulamkan dengan pelbagai adegan, ragam dan isu yang seringkali diketengahkan untuk mendapatkan perhatian pelajar atau pengundi. Suara ketidakadilan, sekatan ataupun ‘isu dianak tirikan’ seringkali dijadikan modal politik bagi kumpulan tertentu.

Politik ‘kepartian’ juga dilihat agak menebal di mana gerakan politik pelajar pada waktu tersebut turut membawa ‘semangat’ kepartian nasional secara jelas walaupun tidak secara langsung. Isu dan kekangan ini seringkali dijadikan modal politik bagi mewujudkan persepsi yang tidak sihat serta menjelmakan situasi ‘play victim’ bagi mencuri lebih banyak undi.

Barisan Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM) bagi Sesi 2023/2024 bergambar bersama pengurusan tertinggi UKM semasa Majlis Penyampaian Watikah Kesatuan Mahasiswa Sesi 2023/2024 UKM, kelmarin.

Tidak ketinggalan, AUKU juga menjadi resipi utama yang turut diseret bersama dalam pesta demokrasi ini. Walaupun beberapa persepsi negatif ini menyulami proses pemilihan MPP atau PRK, secara keseluruhan proses ini masih berjalan dengan lancar pada setiap sesi pengajian.

Pastinya, persepsi atau naratif yang kurang sihat ini perlu diperbetulkan serta diberi kefahaman yang jelas agar ia dapat ditolak jauh-jauh dan inilah yang menjadi salah satu daripada agenda utama Bahagian Hal ehwal Pelajar (BHEP), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui konsep Pemerkasaan Mahasiswa.

Bagi fasa yang pertama, UKM merupakan universiti terawal yang telah melaksanakan keseluruhan empat agenda utama pemerkasaan mahasiswa ini. Salah satu daripada agenda ini adalah dengan memberi ‘autonomi’ kepada kepimpinan pelajar melalui Jawatankuasa Pemilihan MPP (JPMPP) bagi mengendali dan menyelaras semula tata cara pelaksanaan pemilihan MPP secara telus dan bebas mengikut acuan kepimpinan pelajar.

Namun, pelaksanaan autonomi pemilihan MPP ini perlulah mematuhi perlembagaan dan peraturan yang sedang berkuat kuasa. Pihak pengurusan UA melalui HEP akan turut membantu berdasarkan keperluan dalam penyediaan prasarana mahupun teknikal serta bimbingan bagi menjayakan pelaksanaan Pemilihan MPP tersebut.

Pelaksanaan autonomi Pemilihan MPP ini akan membawa kepada semangat kebebasan dengan tanggungjawab dan ini menjadi medan latihan untuk kepimpinan pelajar dalam menguruskan pesta demokrasi pelajar dengan acuannya ‘sendiri’.

Inisiatif ini juga dapat menggalakkan pelajar bersifat proaktif dan bertanggungjawab ke atas keputusan dan tindakan yang telah diambil. Dalam masa yang sama, persepsi negatif seperti ketidakadilan atau sekatan kebabasan yang selalu dijadikan modal berkempen kini tidak wujud lagi.

Setelah persepsi negatif proses demokrasi ini kita dapat ‘dibuang’ jauh-jauh, kini calon MPP atau bakal ‘yang berhormat’ ini dapat memfokuskan kepada manifesto atau ‘isi’ ideologi yang matang, menggerakkan ideologi itu dengan penuh hikmah dan melaksanakan perjuangan ideologi tersebut secara menyeluruh.

Mahasiswa selaku pengundi kini akan cenderung untuk melihat kepada politik matang berasaskan nilai yang perlu dibawa oleh ‘parti’ yang bertanding dengan idea, naratif atau manifesto berkempen yang akan menjadi modal utama dalam menarik minat pengundi.

Ia mengajar kita untuk berpolitik secara berhujah, berdasarkan merit, bukannya politik yang jatuh menjatuh. Ini juga dapat membentuk perubahan landskap politik kampus yang baharu dengan mewujudkan suasana yang harmoni dalam kepelbagaian kelompok pelajar, mengurangkan suasana agresif, progresif dan matang dalam apa jua tindakan.

Konsep ini akhirnya dapat memastikan kepimpinan mahasiswa supaya lebih fokus dalam memberi khidmat bakti yang terbaik kepada warga kampus. Kumpulan kepimpinan mahasiswa yang mana terbaik dalam menawarkan khidmatnya, maka kumpulan inilah yang layak untuk diundi dan diangkat.

Tahniah kepada kepimpinan mahasiswa MPP UKM yang telah terpilih dan pastinya kepimpinan universiti mengharapkan agar mereka dapat terus membawa perubahan kepada kampus, bertindak bijak dalam apa jua keadaan, bersikap profesional, mampu untuk kekal atas prinsip membawa keadilan dan nilai ‘Madani’ untuk semua serta beramanah dan tanggungjawab.

Sinergi KPT melalui BHEP dan bahagian HEP UA bersama kepimpinan pelajar perlu diteruskan melalui perbincangan dan perundingan secara matang dan terus mengangkat ruang ‘menghakupayakan’ mahasiswa melalui semangat autonomi untuk penyuburan demokrasi kampus khususnya dalam konteks pemilihan kepimpinan pelajar. Kepimpinan pelajar yang kritis, bijak, fleksibel dan beretika ini nanti pastinya akan menjadi pelapis kepada kepimpinan tertinggi serta penggerak kemajuan dan kemakmuran negara. – UTUSAN

The post Pemilihan MPP: Demokrasi mahasiswa subur di bumi UKM appeared first on Utusan Malaysia.



source https://www.utusan.com.my/nasional/2024/01/pemilihan-mpp-demokrasi-mahasiswa-subur-di-bumi-ukm/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=pemilihan-mpp-demokrasi-mahasiswa-subur-di-bumi-ukm

Post a Comment

0 Comments