Iklan

'Geng Raqib' tumpas

Antara barangan yang dirampas JSJ IPK Sabah berikutan penahanan Geng Raqib, semalam. NSTP/Ihsan PDRM


KOTA KINABALU: Polis menumpaskan `Geng Raqib' berikutan penahanan lima individu termasuk ketua kumpulan penjenayah berkenaan dalam dua serbuan di Beaufort dan daerah ini, semalam.

Kumpulan itu yang dipercayai aktif dalam kegiatan pecah rumah sejak pertengahan tahun lalu disyaki terbabit dengan sekurang-kurangnya 17 kes jenayah di beberapa daerah di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Senior Asisten Komisioner Azmi Abd Rahim, berkata kejayaan menumpaskan Geng Raqib itu adalah hasil risikan dan intipan pasukannya sejak tahun lalu.

Katanya, terdahulu pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada 17 Februari lalu yang mendakwa rumahnya dipecah masuk dan pelbagai barangan berharga hilang hingga menyebabkan kerugian kira-kira RM96,000.

"Bertindak atas maklumat, pasukan operasi menjalankan siasatan dan berjaya menahan tiga lelaki di sebuah rumah di Kampung Kekeru Kota Klias, Beaufort, kira-kira jam 7 pagi semalam.

"Polis turut merampas sebuah kenderaan, laptop, wang tunai, telefon bimbit dan set anak kunci," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmi berkata, siasatan ke atas ketiga-tiga suspek berusia 33, 37 dan 39 tahun itu mendapati mereka terbabit dalam 17 kes pecah rumah di beberapa daerah di Sabah.

Katanya, antaranya di Sandakan (11 kes), Ranau (dua kes), Penampang, Ranau, Putatan, Inanam dan Kudat masing-masing satu kes.

"Modus operandi kumpulan ini dengan berlegar-legar di perumahan mewah dan kawasan yang berpotensi untuk dipecah masuk.

"Suspek akan menekan loceng rumah dan memberi salam bagi mengenal pasti sama ada rumah terbabit berpenghuni atau sebaliknya. Jika tiada jawapan, suspek akan memecah masuk dan melarikan barangan berharga," katanya.

Beliau berkata, selepas melakukan jenayah, suspek akan lari dan tinggal di sebuah rumah di Beaufort.

"Pemeriksaan mendapati ketua kumpulan ini mempunyai 21 kes jenayah iaitu pecah rumah, dadah dan curi.

"Dua daripada suspek adalah warga tempatan manakala seorang tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

"Melalui tangkapan ini, cawangan D9 JSJ IPK Sabah berjaya menyelesaikan beberapa kes pecah rumah di Kota Kinabalu, Penampang, Sandakan, Ranau, Sipitang dan Beaufort," katanya.

Azmi berkata, hasil siasatan lanjut, pasukan operasi menahan dua individu berusia 26 dan 23 tahun di Kota Kinabalu, semalam.

Katanya, kedua-dua suspek itu berfungsi sebagai pembeli barang yang dicuri oleh ketiga-tiga suspek terbabit.

"Soal siasat dan risikan lanjut masih diteruskan ke atas semua anggota kumpulan ini dan usaha mengesan rakan mereka yang lain sedang dijalankan," katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman lama tujuh hari sehingga 26 Februari ini bagi membantu siasatan kes Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sumber : BH Online

إرسال تعليق

0 تعليقات