Iklan

Imigresen gempur penempatan haram lengkap kemudahan, tahan 132 PATI

Operasi Bersepadu berjaya menahan 132 PATI warga Indonesia dan Bangladesh berusia antara sembilan bulan dan 60 tahun. Foto JIM Selangor


SHAH ALAM: Jabatan Imigresen (Imigresen) menggempur penempatan haram pendatang asing tanpa izin (PATI) di ladang kelapa sawit seluas 0.6 hektar di Setia Alam awal pagi tadi.

Operasi Bersepadu bersama Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Bandaraya Shah Alam berjaya menahan 132 PATI warga Indonesia dan Bangladesh berusia antara sembilan bulan dan 60 tahun.

Serbuan ke atas penempatan haram yang lengkap dengan kemudahan seperti surau, kedai serbaneka, kedai makan serta bekalan air dan elektrik bermula kira-kira jam 2.30 pagi dan berakhir jam 5 pagi.

PATI dikatakan membayar sewa kira-kira RM6,000 sebulan kepada pemilik tanah sejak empat tahun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha, berkata operasi membabitkan 220 pegawai dan anggota yang mengepung kawasan berpagar menggunakan penghadang zink.

"Pemeriksaan membabitkan 156 warga asing dan berikutan itu, 132 individu ditahan terdiri daripada 78 lelaki, 41 wanita serta 13 kanak-kanak lelaki dan perempuan.

"Mereka bekerja di kawasan sekitar sebagai pekerja dobi, buruh binaan dan pekerja restoran dan telah menetap di penempatan ini sejak empat tahun lalu," katanya pada sidang media selepas tamat operasi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemilik tanah tempatan dipercayai membekalkan elektrik kepada penduduk di penempatan itu.

"Bagi bekalan air pula, mereka memperolehnya daripada air bukit dan dengan menggali telaga. Untuk keperluan harian, penempatan ini mempunyai kedai serbaneka yang menjual pelbagai barangan harian.

"Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti pemilik tanah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Beliau berkata, PATI yang ditahan akan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Imigresen di Selangor untuk pengesahan dokumen dan pasport sebelum proses tangkapan dimuktamadkan.

"Imigresen mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi PATI atau berdepan tindakan undang-undang. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi hari ini adalah sebahagian daripada siri operasi yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen dan akan diteruskan berdasarkan aduan yang diterima," katanya.

Sumber : BH Online

Post a Comment

0 Comments