Iklan

Ketagih pornografi: Ibu bapa perlu periksa telefon anak

Ibu bapa perlu pantau berterusan elak anak cari bahan pornografi. - Foto hiasan


KUALA LUMPUR: Ketagihan pornografi mungkin berlaku disebabkan pendidikan seks di peringkat awal tidak didedahkan oleh ibu bapa kepada anak yang berada dalam fasa ingin tahu.

Pakar Perubatan Keluarga dari Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Noor Azimah Muhammad, berkata ibu bapa perlu bersikap lebih terbuka dalam mendidik mengenai seks bagi mengurangkan potensi anak mencari maklumat menerusi bahan pornografi.

"Bercakap dengan anak mengenai apa itu seks, apa perkara boleh dan tidak boleh. Bagi umat Islam, ibu bapa beritahu apa perkara yang dilarang...kerana jika mereka ini dididik dari awal, Insya-Allah mereka akan faham (tentang seks).

"Masalah yang timbul, saya rasa kerana pendidikan (mengenai seks antara ibu bapa dan anak) itu tidak berlaku (dalam kehidupan berkeluarga) dan kita hanya bergantung kepada sekolah," katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia siaran Bernama TV, hari ini.

Beliau turut menasihati ibu bapa untuk melakukan pemantauan secara berterusan terhadap anak-anak mereka terutama dalam penggunaan internet memandangkan akses untuk mendapatkan bahan pornografi amat mudah sekarang ini.

"Walaupun anak sudah masuk sekolah menengah atau kolej, pemantauan ini perlu dilakukan pada bila-bila masa...apabila ibu bapa pegang telefon anak, anda dibenarkan untuk memeriksa bila-bila masa kerana anak-anak terutama remaja mudah guna internet atau mengakses untuk tengok pornografi.

"Mereka mempunyai sifat ingin tahu sebab tidak tahu apa itu seks. Jadi, kalau dalam kebanyakan rumah di Malaysia, ibu bapa tidak bercakap tentang seks, jadi di mana lagi mereka (anak-anak) boleh mendapatkan maklumat itu selain melalui internet," kata Dr Noor Azimah.

Sumber : BH Online

Post a Comment

0 Comments