Iklan

KHM senarai pendek 4 calon latih Speedy Tigers

Jurulatih hoki berpengalaman, Muhammad Dharma Raj Abdullah antara empat calon terakhir untuk jawatan ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan. - BERNAMA


KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), hari ini menyenarai pendek empat calon bagi jawatan ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan.

Empat calon itu adalah bekas pengendali kebangsaan iaitu Muhammad Dharma Raj Abdullah dan Sarjit Singh selain dua calon dari luar negara, Brendan Caralon dari Afrika Selatan serta Glenn Turner dari Australia.

Seorang lagi bekas jurulatih Speedy Tigers, Arul Selvaraj yang turut menghantar permohonan bagaimanapun tidak berada dalam senarai pendek untuk pemilihan terakhir.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan KHM, Datuk Majid Manjit Abdullah berkata, keempat-empat calon yang disenarai pendek akan dipanggil menghadiri sesi temuduga yang dijangkan diadakan minggu depan.

Katanya, secara keseluruhan seramai 23 permohonan diterima bagi mengisi kekosongan jawatan ketua jurulatih lelaki kebangsaan.

"Daripada luar negara 18, jurulatih tempatan lima, keseluruhan 23 jurulatih memohon dan kami menyenarai pendek empat calon.

"Kita akan adakan sesi temuduga dan akan memilih satu jurulatih dan akan cadangkan kepada pihak KHM untuk membuat keputusan akhir.

"Brendan dan Turner akan di temuduga secara zoom (dalam talian) dan berkenaan gaji kita akan bincang kemudian," katanya.

Menurut Majid, mereka yang terpilih akan diberikan kontrak selama dua tahun dengan pilihan tambahan dua tahun.

Sumber : BH Online

Post a Comment

0 Comments