Iklan

Langkah bijak elak tunggakan gaji, bangunkan pelapis

Pasukan tidak harus mensia-siakan bakat muda dan berusaha meningkatkan tahap permainan mereka dalam melahirkan lebih ramai pemain seperti Arif Aiman, Faisal dan Akhyar.


KUALA LUMPUR: Tindakan beberapa kelab mempertaruhkan pemain muda bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25 dianggap mengurangkan risiko pasukan daripada dibelenggu isu tunggakan gaji.

Pendekatan itu juga dilihat bakal memberi impak positif buat pasukan kebangsaan dalam membentuk pemain pelapis yang lebih berkualiti pada masa hadapan.

Ia kerana pasukan menanggung kos lebih rendah dari aspek pembayaran gaji selain pemain muda turut mendapat pendedahan terbaik dalam aksi kompetitif.

Bagaimanapun, pasukan terbabit tetap diingatkan supaya tidak hanya mengambil pemain muda sekadar untuk melengkapkan kuota dan memeram mereka di bangku simpanan.

Pasukan tidak harus mensia-siakan bakat muda, sebaliknya perlu berusaha untuk meningkatkan tahap permainan mereka dalam melahirkan lebih ramai pemain seperti Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim.

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar menjelaskan tindakan menggunakan pemain muda sebagai langkah yang bagus terutama dalam usaha menjadikan mereka aset penting buat kelab dan pasukan kebangsaan.

Malah, beliau percaya pemain yang setaraf atau lebih baik daripada Arif Aiman dan Faisal juga dapat dilahirkan seandanya didikan yang betul dapat dilakukan kelab terhadap pemain muda.

"Kita patut didik mereka (pemain muda) supaya lebih maju dan menjadi pemain bola sepak yang berjaya. Jangan kita hanya mahu mereka semata-mata untuk bermain dalam liga sahaja, tapi jadikan mereka pemain yang bernilai untuk pasukan negara.

"Pengalaman akan hadir sendiri jika mereka diberi pendedahan yang cukup. Sudah tentu semasa kita belajar berlari kita akan jatuh, namun selepas itu kita akan tahu bagaimana kita nak bingkas.

"Ia juga ada kena mengena dengan perbelanjaan pasukan. Tahniah kepada MFL (Liga Bolasepak Malaysia) kerana mengambil langkah terbaik yang mana pasukan ada tunggakan gaji tidak boleh beraksi dalam liga seperti yang dikenakan terhadap beberapa pasukan sebelum ini.

"Jadi, sekarang ini kelab mula sedar bahawa mereka tak boleh main-main dengan MFL, nak ambil pemain boleh tetapi pastikan tabung cukup untuk bayar pemain," katanya kepada BH Sukan.

Semalam, BH Sukan melaporkan pasaran perpindahan pemain Liga M musim ini dikuasai 'ubi muda' selepas kebanyakan pasukan mengambil pendekatan mengikat pemain muda.

Sementara itu, pemerhati sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa menyifatkan pasukan mengambil langkah proaktif yang mana ia dilihat dapat mengelak imej Liga M terus dicemari dengan masalah tunggakan gaji.

Beliau menjelaskan, tiada guna jika pasukan hebat berbelanja dalam mendapatkan pemain yang ternama, namun berdepan masalah tunggakan gaji yang merosakkan persekitaran bola sepak negara.

"Kalau bayar (gaji) mahal tapi selepas itu pemain tidak dapat gaji empat atau lima bulan, ia benda yang tak bagus. Jika dengan bayaran munasabah, pemain dapat gaji setiap bulan dan tiada isu tunggakan, itu lebih baik.

"Pemain muda memang kurang dari aspek pengalaman, tetapi ia terpulang kepada kebijaksanaan jurulatih untuk mengolah penggunaan pemain itu dan jurulatih lebih mahir dalam memahami situasi terbabit.

"Kalau pemain muda tidak diberi peluang beraksi, ia merugikan bakat mereka. Idola seperti Faisal, Arif Aiman, Akhyar (Rashid) sudah dan pemain ini harus dijadikan contoh kepada pemain muda," katanya.

Sumber : BH Online

إرسال تعليق

0 تعليقات