Ketua Jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon akan terus membimbing skuad Harimau Malaya bagi mengharungi perlawanan penting termasuk pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027.
Perkara itu disahkan Naib Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan berkata tiada permintaan rasmi dibuat Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membawa pulang Pan Gon, kepada pasukan negara kelahirannya itu.
“Pan Gon akan terus mengendali skuad senior kebangsaan apatah lagi skuad negara akan berdepan perlawanan penting iaitu pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 bertemu Oman, Mac ini.
“Korea Selatan sendiri yang mencadangkan Pan Gon bagi meningkatkan prestasi Malaysia sebelum ini. Jadi tak mungkin mereka panggil Pan Gon balik di saat kita memerlukan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Ke-10 Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi Penggal 2021-2025 yang turut dihadiri Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin di Wisma FAM di Petaling Jaya hari ini.
0 تعليقات