Iklan

'Tetamu patut tepati masa, pemilik inap desa pula perlu berhemah'



Baru-baru ini telah tular di laman sosial X rakaman video yang memaparkan seorang tetamu inap desa (homestay) dihalau keluar rumah oleh pemiliknya di Kedah.

Tetamu berkenaan mendakwa bahawa pemilik inap desa tersebut menghalau serta membaling keluar barang-barang mereka kerana lambat daftar keluar.

Pemilik inap desa itu mendakwa bahawa tetamu itu lambat dua jam setengah untuk keluar dan pihak inap desa tidak mempunyai masa untuk mengemas rumah tersebut untuk tetamu lain yang akan masuk pada pukul 3 petang.

Mengulas kejadian ini, Presiden Pertubuhan Pengusaha Homestay Malaysia Sahariman Hamdan berkata kedua-dua pihak melakukan kesilapan dalam menangani isu berkenaan dan seharusnya lebih berhemah.

“Pada pandangan saya, dua-dua salah. Kalau awak bayar, awak kena keluar pukul 12, keluarlah pukul 12.

“Tuan rumah pun janganlah kasar sangat,” katanya semasa dihubungi Malaysiakini.

Menurut Sahariman, ketetapan sama turut dikenakan di hotel.

“Yang menginap pun ingatlah janji. Kalau janji kena keluar pukul 12, keluarlah. Hotel pun macam tu juga, tapi hotel tak ada lah campak (barang tetamu),” katanya.

Sahariman juga berpandangan bahawa situasi berkenaan akan memberi imej yang kurang baik terhadap persepsi inap desa.

“Kadang-kadang benda itu terjadi satu dalam seribu. Viral pula tu. Awak yang buat begitu, nak orang simpati apa? Memburukkan nama Malaysia,” kata Sahariman.

Sahariman juga menegur pemilik-pemilik inap desa bahawa harus ada tatacara untuk mengawal tetamu.

“Kena ada tatacara, belajar cara yang elok untuk mengawal tetamu,” katanya, yang telah menjadi presiden Persatuan Homestay Malaysia sejak 1995.

Sumber : MalaysiaKini

Post a Comment

0 Comments