Iklan

Wira Piala Dunia 1990 Jerman meninggal dunia

Pertahanan Jerman Barat, Andreas Brehme (kiri) meraikan jaringannya bersama Juergen Klinsmann selepas menjaringkan penalti kemenangan pada final Piala Dunia menentang Argentina di Rom. - AFP


BERLIN: Pemenang Piala Dunia FIFA, Andreas Brehme yang jaringan penaltinya pada final 1990 ketika menentang Argentina membolehkan Jerman meraih gelaran dunia ketiga meninggal dunia pada usia 63 tahun, menurut bekas kelabnya Kaiserslautern hari ini.

Pemain pertahanan dan pakar sepakan bola mati itu menjadi legenda serta merta Jerman selepas sepakan penaltinya membolehkan mereka menang 1-0 ke atas Argentina yang diterajui Diego Maradona pada final Piala Dunia di Rom.

"FCK sedih dengan kematian Andreas Brehme," kata Kaiserslautern. "Dia menyarung jersi Red Devils selama 10 tahun dan muncul juara Jerman dan Piala Jerman bersama FCK."

"Pada 1990 dia membawa skuad Jerman menjuarai Piala Dunia dengan penaltinya dan menjadi legenda bola sepak. Keluarga FCK amat sedih dan takziah kepada keluarga Andi dan rakannya."

Brehme turut beraksi bersama Bayern Munich dan Inter Milan sebelum bersara pada 1998.

Dia memiliki 86 kaps bersama Jerman, menjaringkan lapan gol termasuk penalti pada final Piala Dunia 1990 yang menjadi detik paling diingati.

Sumber : BH Online

Post a Comment

0 Comments