Parti KeADILan diasaskan pada 4 April 1999 oleh Anwar Ibrahim selepas beliau dipecat Dr Mahathir pada 2 September 1998.
Anwar menjadi Presiden PKR selepas KeADILan bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia-PRM pada 2003 lantas membentuk Parti Keadilan Rakyat-PKR.
Sejarah perjalanan politik Anwar juga diketahui umum sehiinggalah beliau dilantik menjadi Perdana Menteri Ke-10, selepas 25 tahun cita-cita tersebut terbantut.
Pernah melepaskan kedudukan sebagai Presiden kepada isterinya, Wan Azizah kerana menjalani hukuman penjara, Anwar kembali mengambil alih kedudukan selepas dibebaskan dari penjara.
Selepas 25 tahun, Anwar kini berusia 77 tahun dan semua pihak menjangkakan karier politik Anwar sudah berada di penghujung jalan.
Persoalannya, siapa yang akan mengambil alih jawatan Presiden PKR selepas Anwar Ibrahim? Spekulasi mengaitkan Nurul Izzah yang akan kembali menguasai PKR sudah didengari namun masih ‘hujung-hujung’.
Saifuddin Nasution juga merupakan antara nama yang kedengaran agak keras untuk menggantikan Anwar namun beliau kini hanyalah Setiausaha Agung PKR.
Paling menonjol untuk menggantikan Anwar Ibrahim sudah pastinya Rafizi Ramli. Sebagai Timbalan Presiden, Rafizi mempunyai hubungan luas dan baik dengan mahasiswa untuk digerakkan sebagai jentera kempen kelak.
Mengalahkan Saifuddin dalam pertarungan yang agak sengit cukup membuktikan Rafizi menguasai undi anak muda dalam PKR.
KEJUTAN SEKIRANYA SPEKULASI BENAR TERJADI
Namun demikian, ada spekulasi mengaitkan seorang ahli politik yang kini masih dalam kategori tidak berparti selepas dipecat parti lamanya.
Khairy Jamaluddin atau dikenali sebagai KJ turut menjadi ikon anak muda dan kini sangat trending sebagai penyampai radio di sebuah stesyen radio swasta.
Hubungan antara KJ, Rafizi dan Nurul Izzah bukanlah sesuatu yang baru diketahui ramai. Tetapi sekiranya Rafizi memerlukan gandingan atau lebih sesuai ‘pelindung’, tidak salah jika beliau membuka ruang kepada KJ untuk turut bertanding jawatan Presiden PKR.
Ini akan memberi lebih banyak manfaat kepada PKR untuk jangka panjang. Pandangan luas dan melangkaui zaman yang dimiliki KJ sangat diperlukan PKR bagi survival politik parti.
Rafizi pula perlu akur, beliau kini lebih kearah liabiliti dalam PKR dan Kerajaan Madani berikutan kegagalan formula yang selalu beliau laungkan.
Jadi, untuk Rafizi karier politiknya cukup sekadar Timbalan Presiden dan hakikat sebenarnya beliau tidak mempunyai ketokohan untuk menerajui sebuah parti politik secara total.
Berbeza dengan Nurul Izzah yang lebih meyakinkan penyokong parti itu. Sekiranya KJ pula diberikan ruang untuk mengembangkan politiknya dalam PKR, ia merupakan bonus kepada parti kerana berjaya memiliki seorang pemimpin yang ada karisma tersendiri.
ANWAR SUDAH HILANG POPULARITI
Walaupun berjaya menggapai kemahuannya untuk menjadi Perdana Menteri, Anwar tidak sepopular seperti semasa menjadi pembangkang.
Pentadbiran Madani yang terkesan dengan rentetan pertukaran kerajaan dalam tempoh sepenggal meninggalkan kesan yang agak teruk untuk dihadapi Anwar sebagai PM.
Malah, rakyat mulai mengkritik Anwar bersama pasukannya dari Pakatan Harapan kerana masih belum berjaya merealisasikan aspirasi yang pernah mereka laungkan ketika di bangku pembangkang.
Ditambah dengan kegugupan Menteri yang kurang pengalaman mentadbir urus sebuah negara, Anwar bergantung harap kepada kebijaksanaan Barisan Nasional yang kini merupakan sebahagian dari Kerajaan Madani.
Anwar sebenarnya sudah ditakdirkan untuk melaksanakan segala yang diidamkan beliau sejak dari zaman Universiti sehinggalah sekarang. Perjuangan Anwar untuk rakyat perlu beliau realisasikan sebagaimana yang pernah dilakukannya kerana menginsafi kesusahan rakyat satu ketika dahulu.
Cuma beliau perlu lebih terbuka untuk menerima kritikan dari rakyat dan bersedia untuk berkorban demi rakyat.
Sumber : My TV Online
0 Comments