Iklan

Janganlah kerana kesipan kecil, kita menghukum secara tak adil

PENDEKATAN kerajaan melaksanakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah bertujuan menolong 40 peratus rakyat yang berpendapatan rendah.


Misinya jelas, bukan hendak membeli undi dan bermotifkan politik.

Bantuan ini adalah jaringan sosial rakyat dan menjadi kaedah kerajaan memindahkan kekayaan jangka pendek negara kepada orang ramai.

Bagaimanapun, sedih apabila pelbagai dakwaan dilemparkan kepada usaha kerajaan itu termasuklah rakyat dikatakan menjadi pengemis apabila meminta bantuan itu.

BR1M juga dikatakan sebagai rasuah yang mana mereka yang menerimanya pula dikatakan sebagai mudah termakan umpan serta tiada maruah.

Tetapi apabila dilawan dengan hujah bernas, individu terbabit yang juga tokoh besar suatu masa dahulu membuat pusingan U dan mahu BR1M diteruskan pula andai pakatan pembangkang berkuasa.

Baru-baru ini, menjadi tular di laman media sosial bahawa permohonan BR1M ditolak kerana pemohon berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Adakah SSM menjadi punca utama BR1M ditolak?

Menjelaskan mengapa lebih 600,000 pemohon BR1M ditolak, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memberitahu, mereka ini didapati berpendapatan antara RM5,000 hingga lebih RM10,000 sebulan.

Selain daripada itu, terdapat juga permohonan ditolak kerana gagal memberikan maklumat penuh termasuk dokumen perincian pendapatan.

Langsung tidak ada kena mengena dengan SSM malah ada dalam kalangan mereka berdaftar dengan SSM mendapat BR1M kerana mereka memberi maklumat penuh seperti yang diminta kerajaan pada 31 Disember 2016.

Di sebalik tohmahan konon BR1M adalah rasuah, ada pemohon yang memiliki penyata kewangan lebih RM200,000 turut memohon bantuan itu.

Perkara tersebut didedahkan Johari selepas kerajaan mengenakan syarat dokumen sokongan terhadap permohonan berkenaan mulai tahun 2016.

Apakah tujuan syarat dokumen sokongan itu dibuat?

Tujuan utama perkara itu dibuat adalah bagi mengelakkan golongan kaya turut mendapat bantuan berkenaan tatkala ramai lagi rakyat marhaen yang sepatutnya memerlukan tidak pula mendapat BR1M.

Johari turut mendedahkan ada di dalam kalangan pemohon BRIM yang diterima untuk diproses daripada mereka yang berpendapatan bulanan melebihi RM10,000.

Adakah golongan itu layak untuk menerima BR1M?

Secara keseluruhan, seramai 6,320,769 permohonan telah diluluskan bagi menerima BR1M 2017 yang merangkumi bantuan RM1,200 kepada 3,242,048 penerima isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah.

Bantuan RM900 kepada 291,918 penerima isi rumah yang berpendapatan bulanan di antara RM3,001 hingga RM4,000, dan bantuan RM450 kepada 2,786,803 penerima individu yang berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5.41 bilion.

Adakah kerajaan mengamalkan sikap pilih kasih atau mengetepikan pihak tertentu dalam pemberian bantuan berkenaan?

Johari juga telah menjelaskan daripada 7,280,340 penerima BR1M yang layak, Selangor yang diperintah kerajaan negeri PKR adalah penerima BR1M tertinggi dengan jumlah 1,017,403 orang.

Ini membuktikan kerajaan tidak melakukan diskriminasi terhadap golongan berpendapatan rendah tidak kira di mana mereka tinggal, kaum apakah mereka atau parti mana yang mereka undi.

Sejak dilaksanakan pada 2012, BR1M mendapat pengiktirafan Bank Dunia sebagai program pindahan tunai yang berjaya sampai kepada 90 peratus golongan yang memerlukan dan juga diiktiraf sebagai sangat progresif dan bukannya regresif seperti subsidi petrol dan diesel berbentuk pukal.

Bank Dunia juga menyatakan BR1M merupakan penyumbang kepada penurunan kadar kemiskinan dan sekiranya BR1M dan bayaran kebajikan yang lain tidak dilaksanakan, kadar kemiskinan di negara ini akan lebih tinggi.

Selain Bank Dunia, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) juga mengiktiraf BR1M sebagai program jaringan keselamatan sosial yang memberi manfaat kepada golongan yang terdedah kepada kemiskinan.

Pastinya, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri memberitahu bantuan seumpama itu turut disalurkan kepada rakyat
miskin di Arab Saudi, ia sekali gus menutup mulut individu yang selama ini menghentam kerajaan dengan tuduhan melulu dan negatif terhadap BR1M itu sendiri.

إرسال تعليق

0 تعليقات