Iklan

LRT, MRT, monorel bersih dan selamat


Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) memperakui pengendalian di stesen LRT, MRT dan monorel kendalian Rapid Rail Sdn Bhd, bersih, selamat serta dilengkapi visual maklumat yang jelas.
Pengurusan berkualiti dan efektif itu dibuktikan melalui audit Sistem Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S ke atas stesen dan fasiliti bagi keempat-empat laluan rel urban yang dikendalikan oleh anak syarikat Prasarana itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Ir Zohari Sulaiman, berkata pemeriksaan dibuat ke atas keempat-empat laluan rel LRT Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, Laluan KL Monorel dan MRT Laluan Sungai Buloh - Kajang, semalam

Beliau berkata, penilaian dibuat berdasarkan prinsip antarabangsa 5S iaitu Seiri, Seiton, Seiso, Seiketsu dan Shitsuke atau Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal.
"Alhamdulillah, semua anggota panel auditor perbadanan berpuas hati, sekali gus berkenan menganugerahkan Rapid Rail dengan Pensijilan Persekitaran Berkualiti (5S) MPC. 
"Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua warga kerja Rapid Rail, yang terus mempamerkan dedikasi, komitmen dan kegigihan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Zohari berkata, pihak panel audit MPC memaklumkan bahawa aspek keselamatan diberi keutamaan dan dipatuhi di semua stesen dan fasiliti yang diaudit.
"Semua stesen dan fasiliti itu efektif untuk menggelakkan sebarang kemalangan.
"Untuk pengurusan visual maklumat pula, mereka bersetuju bahawa Rapid Rail berjaya mewujudkan dan mempamerkan maklumat berkaitan dengan operasi sebagai rujukan pelanggan dan dilaksanakan dengan kemas," katanya.

إرسال تعليق

0 تعليقات