Iklan

'Saya akan pastikan kebajikan warga FELDA terjamin'. #MOFComms


Datuk Seri Najib berkata, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan sosio-ekonomi negara terutama membabitkan warga FELDA.   

Perdana Menteri berkata, ini kerana model perniagaan FELDA terbukti berjaya meningkatkan taraf hidup setiap warganya dari generasi ke generasi, sehinggalah ke hari ini.   

Beliau berkata, Malaysia adalah negara pengeluar kelapa sawit kedua terbesar dunia dan juga pengeluar getah asli kelima terbesar dunia, yang sebahagian besar kejayaan berkenaan disumbangkan menerusi hasil titik peluh warga FELDA.   

Susulan pencapaian itu, Najib berkata, kerajaan sangat menitikberatkan kebajikan setiap warga FELDA yang meliputi segenap aspek.   

"Selagi saya memegang jawatan Perdana Menteri, Insya-Allah, saya akan memastikan kemajuan FELDA ditingkatkan dan kebajikan warga terjamin.   

"Warga FELDA adalah sebuah komuniti yang sangat dekat di hati saya kerana organisasi itu telah dibangunkan oleh Allahyarham ayahanda saya, Tun Razak," katanya dalam catatan di blog www.najibrazak.com, hari ini.   

Najib berkata, pada masa kini, kerajaan menerusi FELDA sedang mengusahakan rumah generasi kedua, yang membolehkan warga FELDA memiliki rumah dengan harga sekitar RM70,000.   

Katanya, sebanyak 8,470 unit rumah generasi kedua sedang dibina dalam Fasa 1 dan 4,990 buah rumah dijangka siap pada tahun ini.   

"FELDA juga mempunyai tabung bantuan kebajikan peneroka yang membolehkan peneroka menerima bantuan kewangan maksimum RM10,000.    

"Bantuan kewangan ini adalah untuk mereka yang menghidap penyakit kronik dan kemusnahan harta disebabkan bencana alam. Permohonan juga boleh dibuat untuk membeli alat bantuan kesihatan," katanya.   

Mengulas lanjut, beliau berkata, satu lagi bantuan teristimewa yang diberikan oleh FELDA adalah bantuan membaik pulih rumah yang sedia ada.   

Katanya, bantuan itu membabitkan pembesaran rumah dengan nilai maksimum sebanyak RM40,000 tanpa faedah.   

Dalam bidang pendidikan pula, Najib berkata, anak FELDA yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan dan luar negara berhak menerima insentif kewangan seperti skim insentif anak peneroka dan dana khas pelajar cemerlang ke luar negara.

-Berita Harian

Post a Comment

0 Comments