Iklan

Penjenayah maut ditembak



Seorang penjenayah yang maut ketika berbalas tembak dengan polis di jalan Bukit Kechik, Napoh, Changlun dekat sini, sempat melepaskan dua das tembakan sebelum polis membalas tembakan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, berkata terdahulu, sepasukan polis Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah yang melakukan rondaan Op Laras di kawasan kejadian ternampak sebuah kereta Proton Saga yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, pasukan serbuan yang melakukan rondaan di tempat itu kemudian mengarahkan suspek berhenti namun dia enggan berbuat demikian.

Katanya, suspek enggan berhenti namun keretanya telah terbabas ke kiri jalan dan terhenti sebelum dia bertindak melepaskan dua das tembakan.

“Polis yang ketika itu cuba mempertahankan diri, membalas empat das tembakan yang mengenai dadanya menyebabkan suspek mati di tempat kejadian,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, malam ini.

Hadir sama, Timbalannya, Deputi Komisioner Adzli Abu Shah dan Timbalan Ketua JSJ Kedah, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail.

Fisol berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, suspek dipercayai warga tempatan berusia 57 tahun dan mempunyai empat rekod jenayah berkaitan dadah serta senjata api tiruan.

Beliau berkata, pemeriksaan dalam kereta suspek menemukan dua pucuk pistol dan 240 butir peluru.

“Peluru yang ditemui adalah 9 milimeter (mm) 100 butir, .38 juga 100 butir serta peluru 5.56 yang digunakan untuk senjata rifal seperti M-16.

“Hasil pemeriksaan masih dilakukan oleh Unit Forensik dari Kontinjen Kedah dan pasukan JSJ Kedah di lokasi kejadian,” katanya.

Fisol berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Katanya, mayat suspek dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, suspek ditemui mati di tempat duduk pemandu hadapan kereta Proton Saga dalam keadaan berlumuran darah.


Sumber : My TV Online

إرسال تعليق

0 تعليقات