Iklan

Trump didenda AS$355 juta, diharamkan kendali perniagaan di New York

Bekas presiden Amerika Syarikat (AS) yang juga calon presiden AS 2024, Donald Trump, pada sidang media selepas mahkamah di New York menjatuhkan hukuaman terhadapnya. - Foto AFP


NEW YORK: Seorang hakim New York pada Jumaat mengarahkan Donald Trump membayar AS$355 juta (RM1.69 bilion) atas dakwaan penipuan dan melarangnya mengusahakan syarikatnya di negeri itu selama tiga tahun.

Tindakan yang calon presiden AS 2024 itu dakwa bermotifkan politik, secara langsung memberi tamparan hebat kepada empayar perniagaan dan kedudukan kewangannya.

Trump, yang hampir pasti menjadi calon presiden Republikan menjelang pemilihan November ini, didapati bertanggungjawab kerana menokok tambah kekayaannya secara tidak sah dan manipulasi nilai hartanah untuk mendapatkan pinjaman bank atau terma insurans yang menguntungkan.

Trump menerusi media sosialnya menyelar keputusan itu dengan menggelar sebagai 'Total SHAM' (penipuan menyeluruh), hakim dalam kes itu 'tidak jujur' dan pendakwa yang membawa kes itu 'pasti terpalit rasuah'.

Pasukan undang-undangnya pula berkata Trump sudah pasti akan mengemukakan rayuan dan memandangkan kes itu adalah kesalahan sivil, bukan jenayah, tiada ancaman beliau akan dipenjara.

Bagaimanapun, Trump, sebelum keputusan itu ditetapkan mahkamah, menjelaskan larangan mengusahakan perniagaan di New York adalah sama seperti 'hukuman mati korporat' bagi ahli perniagaan sepertinya.

Trump, yang turut menghadapi 91 pertuduhan jenayah dalam kes lain, memanfaatkan masalah perundangan beliau untuk menaikkan semangat penyokongnya dan mengkritik lawannya, Presiden AS, Joe Biden, selain mendakwa tindakan itu bertujuan 'menjejaskan peluangnya dalam pemilihan presiden'.

Bagaimanapun, Hakim Arthur Engoron berkata penalti dikenakan itu adalah wajar berdasarkan tingkah laku Trump itu.

"Mereka tidak merasa bersalah dan menyesal atas apa yang dilakukan," kata Engoron berhubung kes membabitkan tuduhan menokok tambah nilai aset untuk membuat lebih banyak wang, yang mana Trump dan dua anak lelakinya turut didakwa.

Anak lelaki Trump, Eric dan Donald Trump Jr juga didapati bertanggungjawab dalam kes itu dan diarah membayar lebih AS$4 juta (RM19 juta) setiap seorang, mendorong Donald Jr mendakwa di media sosial bahawa keputusan mahkamah.

Engoron juga melanjutkan tugas hakim yang sudah bersara, Barbara Jones, sebagai pemantau bebas hal ehwal perniagaan Trump, serta mengarahkan pelantikan pengarah pematuhan bebas kepada Pertubuhan Trump, dengan calonnnya akan ditentukan Jones.

Perintah hakim itu adalah kemenangan bagi Peguam Negara New York, Letitia James.

Beliau sudah meminta AS$370 juta (RM1.76 bilion) daripada Trump untuk membetulkan kelebihan yang didakwanya diperoleh secara salah, serta menghalangnya daripada menjalankan perniagaan di negeri itu.

Keputusan itu satu tamparan besar dihadapi Trump, ketika dia hadir di mahkamah New York pada Khamis sebelum perbicaraan jenayah, di mana beliau turut menghadapi pertuduhan cuba menutup kes pembayaran wang secara tidak sah.

Ia akan menjadi perbicaraan jenayah pertama melibatkan bekas presiden AS.

Bekas presiden yang dua kali dipecat itu akan dibicarakan di Florida pada Mei atas tuduhan mengambil dokumen rahsia kerajaan, selepas dia meninggalkan jawatan presiden dan menggagalkan pihak berkuasa yang cuba mendapatkannya.

Sumber : BH Online

إرسال تعليق

0 تعليقات